KUALA LUMPUR 27 Jan - Pengasas Optimax Holdings Bhd, Tan Sri Dr Tan Boon Hock telah melepaskan lebih daripada empat peratus pegangan dalam ITMAX System Bhd setakat tahun ini, menjana sekitar RM218.5 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pelaburan Boon Hock, Sena Holdings Sdn Bhd, menjual 29.2 juta saham melalui transaksi perniagaan terus pada 7 Januari pada harga RM4.73 sesaham, berjumlah RM138.12 juta.
Harga ini mencatat diskaun 2.67% berbanding penutupan kaunter RM4.86 pada hari tersebut.
Sena Holdings kemudiannya menjual tambahan 17 juta saham pada 23 Januari bagi RM80.41 juta, menjadikan jumlah keseluruhan penjualan saham ITMAX bagi 2026 sebanyak 46.2 juta unit.
Boon Hock memulakan pelaburan dalam ITMAX pada 2019 dan ketika penyenaraian syarikat di Pasaran Utama pada Disember 2022, beliau memegang 51.3% pegangan bersamaan 527.1 juta saham pada harga tawaran RM1.07 sesaham.
Sejak penyenaraian, harga saham ITMAX meningkat secara konsisten dan kini diniagakan sekitar RM5.05 sesaham, menilai syarikat pada kira-kira RM5.22 bilion — lebih 370% di atas harga IPO.
Walaupun telah melakukan penjualan, Tan kekal sebagai pemegang saham terbesar dengan pegangan 48.45% secara tidak langsung melalui Sena Holdings.
Anak beliau, William Tan Wei Lun, pengarah urusan dan CEO ITMAX, juga dianggap pemegang saham utama melalui kenderaan pelaburan yang sama. - DagangNews.com








