KUALA LUMPUR 15 April - Perbicaraan melibatkan pengasas FashionValet Sdn Bhd, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar berhubung pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana pelaburan RM8 juta yang sepatutnya bermula Isnin lalu, ditangguhkan ke Julai depan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad menangguhkan perbicaraan selepas membenarkan permohonan peguam pasangan itu, Shaarvin Raaj untuk mengosongkan tarikh perbicaraan terdahulu yang ditetapkan pada 14 hingga 17 April, 18 hingga 22 Mei dan 8 hingga 12 Jun 2026 bagi memberi ruang kepada pihak pembelaan menyediakan pernyataan pembelaan.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 20 dan 24 Julai, 17 dan 18 Ogos, 16 dan 23 Oktober, 3, 20 dan 30 November, 17 dan 18 Disember tahun ini serta 15, 28 dan 29 Januari tahun depan sebagai tarikh baharu perbicaraan.
Sebelum itu, Shaarvin memaklumkan mahkamah bahawa dokumen berkaitan kes perlu diserahkan kepada juruaudit, satu proses yang dijangka mengambil masa kira-kira enam minggu sebelum pihak pembelaan dapat memuktamadkan dan menyerahkan pernyataan mereka kepada pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorsyazwani Mohamad Sobry yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman tidak membantah permohonan penangguhan tersebut, menurut laporan The Edge.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut membenarkan permohonan pasangan itu untuk pelepasan sementara pasport bagi menunaikan ibadah haji, selain mengarahkan dokumen berkenaan dipulangkan semula kepada mahkamah sebelum 18 Jun ini.
Mengaku tidak bersalah
Pada 5 Disember 2024, Vivy atau nama penuhnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan dana daripada Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM8 juta.
Pasangan itu selaku pengarah FashionValet didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan memberi kuasa pembayaran RM8 juta daripada akaun bank korporat FashionValet kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan lembaga pengarah syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Ogos 2018 di cawangan Public Bank Bhd, Bukit Damansara.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mereka turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan harta milik FashionValet secara tidak jujur, iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta di lokasi serta tarikh yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun serta sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan. - DagangNews.com








