Pengarah DFCity mohon injunksi di Mahkamah Tinggi halang EGM 12 Februari ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengarah DFCity mohon injunksi di Mahkamah Tinggi halang EGM 12 Februari ini

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 10 Feb - Dua ahli lembaga pengarah DFCITY Group Bhd memfailkan permohonan injunksi interim bagi menghalang mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu yang dijadualkan pada 12 Februari ini untuk mengundi penyingkiran tiga pengarah lain.

 

Pengarah bukan bebas bukan eksekutif, Datuk Dr Li Wei dan pengarah eksekutif, Zhang Dandan — bersama syarikat milik Li, AGHG Biotech (M) Sdn Bhd — memfailkan permohonan injunksi tersebut di Mahkamah Tinggi, menurut makluman DFCITY di Bursa Malaysia.

 

EGM berkenaan dijadualkan berlangsung pada 12 Februari, manakala permohonan injunksi itu ditetapkan untuk pendengaran pada 10 Februari.

 

Antara pihak yang dinamakan sebagai defendan dalam tindakan undang-undang itu ialah pemegang saham utama dan pengarah eksekutif Low Kim Kiat, isterinya Liew Lee Chin, anak mereka Low Yew Kuan, Low Kim Leong.

 

Turut sama dinamakan ialah syarikat milik keluarga Low iaitu Paddingtons Hospitality Sdn Bhd dan Fairy Blossoms Sdn Bhd, pemegang saham utama PWK Co Ltd, serta HSBC Nominees (Asing) Sdn Bhd.

 

Selain memohon supaya EGM berkenaan dihalang daripada diadakan, Li dan Zhang turut memohon satu lagi injunksi interim bagi menghalang defendan daripada berurusan dengan saham yang dipegang oleh PWK dan HSBC Nominees.

 

Tindakan undang-undang ini merupakan perkembangan terbaharu dalam konflik lembaga pengarah DFCITY.

 

Pergolakan lembaga pengarah

Bulan lalu, tiga pemegang saham — Liew, Fong Yik Hon dan Marcus Tan Kok Wee — yang secara kolektif memiliki 12.09% kepentingan dalam DFCITY, telah meminta supaya satu EGM diadakan bagi menyingkirkan tiga pengarah, iaitu Li, Zhang dan pengarah bukan eksekutif bebas Chong Yuen Shuen.

 

Dalam surat permohonan kepada lembaga pengarah syarikat, para pemegang saham berkenaan menyatakan bahawa notis untuk memanggil EGM itu perlu dianggap sebagai “material dan sensitif harga”, namun tiada sebab khusus dinyatakan bagi permintaan tersebut.

 

Menurut surat permohonan bertarikh 13 Januari, Liew memegang 3.79% kepentingan, Fong 4.9% dan Tan 3.4%.

 

Pada Ogos 2025, Liew tidak lagi menjadi pemegang saham utama DFCITY selepas Paddingtons Hospitality melupuskan 11.37% kepentingan pada harga RM7.2 juta melalui transaksi perniagaan secara rundingan langsung pada 4 Ogos. Kim Kiat turut melupuskan 3.23% kepentingan yang dipegang secara langsung pada harga RM1.98 juta.

 

Pada hari yang sama, PWK yang berpangkalan di Samoa muncul sebagai pemegang saham utama dengan pembelian 13.6% kepentingan. Pemilikan PWK tidak didedahkan di Bursa Malaysia, menurut laporan The Edge.

 

Kim Kiat, yang kini memiliki 8.272% kepentingan berdasarkan kemas kini terkini Bursa Malaysia, serta DFCITY juga terlibat dalam satu lagi pertikaian undang-undang berasingan dengan Li dan Zhang, antara lain berkaitan tindakan membatalkan pelantikan semula Kim Kiat sebagai pengarah urusan daripada jawatan pengarah eksekutif pada 12 Ogos tahun lalu.

 

Tindakan saman itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan kini dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

 

Saham DFCITY tidak didagangkan pada Isnin. Ia terakhir didagangkan pada 5 Februari pada harga 37 sen, memberikan nilai pasaran syarikat sebanyak RM39.07 juta. - DagangNews.com