KUALA LUMPUR 25 Feb - CBH Engineering Holding Berhad mencatatkan kejutan positif bagi 4QFY25, dengan keuntungan bersih meningkat kira-kira 92.7%, disokong tempahan banyak projek pusat (DC).
Penganalisis turut menyifatkan perkembangan tersebut dipacu penjimatan kos projek sedia ada, sekali gus meningkatkan tahap keyakinan pelabur terhadap pertumbuhan jangka sederhana syarikat berkenaan.
Menurut Public Investment Bank, lonjakan keuntungan kepada RM20.6 juta, didorong oleh pelbagai tempahan dan margin projek DC yang meningkat ketika kerja-kerja kontrak hampir disiapkan.
"Pendapatan suku itu naik 8.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM91.2 juta, dengan segmen mekanikal dan elektrikal (M&E) kekal penyumbang utama melebihi 99% daripada jumlah hasil," kata firma itu.
Ia menegaskan, baki tempahan CBH yang berjumlah RM591.8 juta, dengan lebih 90% daripadanya adalah berkaitan projek DC, dan memberikan keterlihatan pendapatan untuk tempoh dua tahun akan datang.
Syarikat itu jelas PublicInvest, turut memiliki buku tender RM830 juta, majoritinya segmen DC, dan berikutan prestasi kukuh ini, ia menaikkan unjuran hasil FY26 hingga FY27 sebanyak purata 4.8%.
Justeru, ia mengekalkan penarafan 'outperform' dan harga sasaran (TP) baharu 65 sen, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY26 sebanyak 17 kali, serta dividen akhir 0.27 sen sesaham.
“CBH kekal strategik memanfaatkan pengembangan infrastruktur DC di Malaysia, disokong pelaburan besar syarikat berskala tinggi dan inisiatif awan berasaskan kecerdasan buatan (AS),” katanya.
Sementara itu, TA Securities melaporkan bahawa syarikat tersebut menamatkan FY25 dengan prestasi positif, dengan keuntungan bersih teras mencecah RM44.9 juta, melebihi unjuran firma tersebut.
Selain itu, margin untung sebelum cukai (PBT) kumpulan tumbuh dengan baik, hasil daripada usaha penjimatan kos dan projek DC tertentu yang memberi margin tinggi semasa puncak pelaksanaan.
Walaupun hasil tahunan jatuh 19.5% YoY akibat kadar penyiapan tempahan baharu perlahan, keuntungan teras pula naik 3.6% YoY, manakala keuntungan suku tahunan melonjak 303.3% suku ke suku (QoQ).
"Kami mengekalkan unjuran keuntungan pada FY26 dan FY27 serta memperkenalkan unjuran FY28 iaitu RM86.1 juta (+2.8% YoY) berdasarkan RM600 juta jangkaan projek baharu," jelas TA Securities.
Katanya, CBH menekankan baki tempahan RM591.8 juta atau 2.7 kali liputan pendapatan FY25 sebagai keterlihatan hasil untuk tiga tahun akan datang dan ia turut menetapkan TP baharu 85 sen sesaham.
Di samping itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli', serta menilai permintaan berterusan untuk sambungan grid, naik taraf dan sistem pengagihan tenaga terus menyokong momentum syarikat.
Tambah TA Securities, CBH kini berada pada tahap strategik memanfaatkan gelombang pelaburan infrastruktur DC, disokong oleh tender book yang kukuh dan margin projek meningkat. - DagangNews.com








