Pendapatan Sunway Construction melonjak 127% kepada RM1.48 bilion pada Q2, catat prestasi terbaik sejak penyenaraian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Sunway Construction melonjak 127% kepada RM1.48 bilion pada Q2, catat prestasi terbaik sejak penyenaraian

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Sunway Construction Group Bhd (SunCon) mencatat keputusan kewangan cemerlang bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q FY2025), dengan pendapatan melonjak 127% tahun ke tahun kepada RM1.48 bilion — prestasi suku tahunan terbaik sejak disenaraikan pada 2015.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 144% kepada RM122.6 juta, didorong kemajuan pesat projek pusat data.

 

Segmen pembinaan kekal sebagai pemacu utama, dengan pendapatan meningkat 140% kepada RM1.43 bilion dan PBT melonjak 159% kepada RM121.4 juta.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, SunCon berjaya menggandakan pendapatan kepada RM2.88 bilion berbanding RM1.26 bilion tahun sebelumnya, manakala PBT melonjak 157% kepada RM235.8 juta.

 

Kumpulan itu turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7.25 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan setakat ini 12.25 sen sesaham termasuk dividen interim pertama 5 sen sebelum ini.

 

Sehingga Jun 2025, buku pesanan SunCon berjumlah RM6.72 bilion, dengan tempahan baharu RM3.81 bilion — mencapai lebih 60% daripada sasaran pengisian semula antara RM4.5 bilion hingga RM6.0 bilion. Kontrak yang diperoleh merangkumi projek pusat data, pembangunan berorientasikan transit dan komponen pra-tuang.

 

Pengarah Urusan SunCon, Liew Kok Wing berkata keputusan terkini membuktikan kekuatan pelaksanaan kumpulan serta keupayaan menangkap peluang pertumbuhan.

 

“Sunway Construction sekali lagi mencatat prestasi suku tahunan terbaik sejak disenaraikan pada 2015. Ini bukti jelas komitmen kami terhadap kecemerlangan dan penciptaan nilai untuk para pemegang kepentingan. Kami juga konsisten mencapai pendapatan melebihi RM1.4 bilion selama tiga suku berturut-turut,” katanya.

 

Beliau menambah, SunCon telah menyiapkan lebih 100MW kapasiti pusat data untuk pelanggan dan kini mengurus lima projek aktif bagi empat syarikat multinasional. Kumpulan itu yakin dapat mengukuhkan kedudukan dalam segmen kemudahan teknologi maju (ATF) selain memperluas portfolio ke projek infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan dalam Kumpulan Sunway.

 

Liew optimis SunCon akan terus mencatat keuntungan positif bagi FY2025, disokong buku pesanan kukuh, kedudukan kewangan sihat dan keupayaan pelaksanaan terbukti.

 

Bukan subjek siasatan

Sementara itu, SunCon menjelaskan siasatan terkini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya melibatkan salah laku peribadi seorang kakitangan. Kumpulan bukan subjek siasatan di bawah mana-mana peruntukan Akta SPRM 2009 termasuk Seksyen 17A.

 

SunCon berkata ia telah melantik perunding forensik bebas pihak ketiga untuk menambah baik tadbir urus dan kawalan dalaman, sekali gus menegaskan komitmen terhadap integriti dan akauntabiliti. - DagangNews.com