KUALA LUMPUR 22 April – AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) mencatatkan peningkatan prestasi kewangan bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 apabila pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat 28.9% kepada RM14.9 juta berbanding RM11.6 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan tersebut disokong oleh kenaikan 26.2% dalam pendapatan sewaan kepada RM16.5 juta daripada RM13.1 juta, didorong oleh sumbangan penuh sepanjang suku daripada enam aset industri baharu yang diperoleh dalam tempoh 12 bulan lepas serta semakan naik kadar sewa bagi beberapa pajakan sedia ada.
AME REIT berkata kadar penghunian portfolio turut kekal pada tahap 100%, mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap aset industri miliknya serta kestabilan penyewa dalam portfolio kumpulan tersebut.
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026), AME REIT merekodkan jumlah pendapatan sewaan sebanyak RM62.3 juta, meningkat 22.4% berbanding RM50.9 juta pada tahun sebelumnya, selari dengan pengembangan portfolio yang berterusan.
“Seiring itu, NPI FY2026 meningkat 21.5% kepada RM56.4 juta daripada RM46.4 juta, disokong oleh prestasi operasi yang kukuh, kadar sewaan stabil serta strategi pertumbuhan aset yang berterusan.
“Jumlah nilai aset AME REIT turut melepasi RM1 bilion, didorong oleh pengembangan portfolio serta keuntungan nilai saksama ke atas hartanah pelaburan, sekali gus mencapai satu pencapaian penting dalam tempoh empat tahun selepas penyenaraian,” katanya.
Bagi pengurusan portfolio, AME REIT kini memiliki 43 aset secara keseluruhan, terdiri daripada 40 hartanah industri dan tiga asrama pekerja berkaitan industri, dengan jumlah keluasan boleh disewa sebanyak 2.4 juta kaki persegi.
Aset-aset tersebut terletak di beberapa taman industri utama kumpulan AME seperti i-Park @ Indahpura, i-Park @ Senai Airport City, i-Park @ SILC serta i-TechValley di SILC, yang menjadi antara lokasi tumpuan industri di Iskandar Malaysia.
Dari segi pengagihan pendapatan, AME REIT mengumumkan agihan per unit (DPU) sebanyak 2.16 sen bagi suku keempat 2026, melibatkan pembayaran sebanyak RM11.5 juta yang akan dibayar pada 28 Mei 2026 kepada pemegang unit yang layak berdasarkan rekod pada 8 Mei 2026.
Bagi keseluruhan FY2026, jumlah agihan pendapatan ialah RM44.3 juta, mewakili 99.9% daripada pendapatan boleh agih tahunan, dengan DPU keseluruhan sebanyak 8.34 sen bagi tahun kewangan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn Bhd, Chan Wai Leo berkata pencapaian AME REIT yang melepasi nilai aset RM1 bilion membuktikan pelaksanaan strategi pertumbuhan yang konsisten sejak penubuhan, selain menunjukkan keyakinan pelabur terhadap prospek jangka panjang kumpulan itu.
Menurutnya, AME REIT akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan portfolio secara aktif termasuk pelupusan aset matang dan pengambilalihan aset baharu bagi mengoptimumkan pulangan, termasuk menyempurnakan baki transaksi dalam tahun kewangan tersebut.
Antara transaksi yang sedang dimuktamadkan ialah pengambilalihan aset terakhir daripada tujuh asset daripada penaja AME Elite Consortium Berhad iaitu i-Park SAC 34, serta pelupusan tiga aset matang di i-Park @ SILC bernilai RM14.5 juta, yang dijangka selesai pada separuh pertama 2026.
AME REIT diuruskan oleh I REIT Managers Sdn Bhd manakala RHB Trustees Berhad bertindak sebagai pemegang amanah, dengan strategi utama untuk melabur dalam hartanah industri patuh Syariah yang menjana pendapatan bagi menyediakan agihan stabil dan pertumbuhan jangka panjang kepada pemegang unit. - DagangNews.com








