Pendapatan Petronas Chemicals diunjur naik sehingga 32% dipacu harga petrokimia lebih baik - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Petronas Chemicals diunjur naik sehingga 32% dipacu harga petrokimia lebih baik - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mac - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) diunjur mampu mencatatkan pendapatan positif untuk dua tahun kewangan susulan harga petrokimia lebih baik, menurut RHB Research.
 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan perkembangan tersebut, pihaknya menganggarkan jumlah pendapatan bagi FY25 sehingga FY26 meningkat masing-masing sebanyak 32 peratus dan 21 peratus.
 

Prospek berkenaan akan menjadikan syarikat tersebut diramalkan boleh memperoleh hasil masing-masing kepada RM1.5 bilion dan RM1.8 bilion untuk dua tahun kewangan berturut-turut itu.

 

"Bagaimanapun kami turut mengambil maklum bahawa tinjauan pendapatan FY25 hingga FY27 sebelum ini adalah 6 hingga 8 peratus lebih rendah daripada pendapatan konsensus," katanya dalam satu nota kajian.
 

RHB Research menilai harga sasaran saham PCG pada RM3.21 berdasarkan 0.7 kali nisbah nilai harga kepada buku (P/BV) FY25 selepas dimasukkan skor 2.8 untuk amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG).
 

Perkembangan berkenaan kata firma tersebut, adalah selaras dengan purata penilaian rakan serantau dan harga sasaran dibayangkan itu adalah menurun kepada RM3.21 serta mengekalkan lagi saranan "jual".
 

Sektor petrokimia global katanya, dijangka kekal dalam lebihan bekalan pada 2025 terutama Amerika Utara dan Asia Timur, kerana tekanan pemulihan permintaan oleh penambahan kapasiti berterusan.
 

Dalam jangka masa terdekat, pihak pengurusan PCG menjangkakan harga olefin dan poliolefin adalah kekal stabil, manakala harga urea serta ammonia masih disokong oleh kekurangan bekalan dari Asia Barat.
 

Untuk bahan kimia secara khusus, syarikat tersebut melihat tinjauan yang bercampur-campur dan pemulihan permintaan berdasarkan kepada geografi adalah berpecah-belah merentasi wilayah berbeza.
 

"Produk pengguna dan runcit berkemungkinan mampu mengatasi prestasi pasaran akhir bagi sektor pembinaan dan automotif," kata RHB Research. - DagangNews.com