KUALA LUMPUR 18 Feb - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik, HE Group Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM206.9 juta pada suku keempat (4QFY24), meningkat 1.3% berbanding RM204.2 juta pada tempoh yang sama pada 2023.
Menurut syarikat, peningkatan itu didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen Peralatan Elektrik Hook-Up dan Retro-fit.
"Selain itu, keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat turut meningkat sebanyak 24.5% kepada RM13.7 juta berbanding RM11.0 juta pada tahun sebelumnya, dengan margin PAT yang diperluas kepada 6.6% pada FY24 berbanding 5.4% pada FY23," jelas HE Group dalam laporan prestasi kewangan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 (FY24).
Segmen Sistem Pengagihan Kuasa kekal sebagai penyumbang utama hasil syarikat, mencatatkan RM114.8 juta atau 55.5% daripada jumlah hasil pada FY24 (FY23: RM133.2 juta).
Segmen Peralatan Elektrik Hook-Up dan Retro-fit menunjukkan pertumbuhan kukuh, meningkat lima kali ganda kepada RM53.5 juta pada FY24 berbanding RM10.5 juta pada FY23, menyumbang 25.9% daripada hasil.
Segmen Sistem Bangunan dan Kerja Lain pula menyumbang RM37.5 juta (FY23: RM59.9 juta) atau 18.1% daripada jumlah hasil, manakala baki hasil dijana oleh segmen Perdagangan Produk Elektrik yang mencatatkan RM1.1 juta pada FY24 (FY23: RM0.5 juta).
Pengarah Urusan HE Group, Haw Chee Seng berkata, pencapaian HE Group pada FY24 mencerminkan kemampuan syarikat berdepan cabaran dalam industri sambil mengekalkan ketahanan kewangan.
Katanya, pertumbuhan mantap syarikat dalam segmen-segmen utama menekankan permintaan terhadap rumusan kejuruteraan yang boleh dipercayai, terutamanya dalam industri yang berkembang pesat, seperti pembuatan semikonduktor dan pembangunan pusat data.
"Dasar pro-pelaburan Malaysia, bersama-sama dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dijangka mendorong pengembangan lebih lanjut dalam sektor industri.
"Selaras dengan ini, kami sedang meningkatkan keupayaan kami merangkumi kejuruteraan mekanikal dan utiliti proses, yang akan meletakkan kedudukan kumpulan untuk pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, walaupun kekal optimis terhadap prospek industri, syarikat juga sedar tentang ketidakpastian makroekonomi yang mungkin mempengaruhi keputusan pelaburan.
Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko itu, syarikat akan terus mengamalkan pengurusan kos yang berdisiplin dan langkah-langkah kecekapan operasi.
"Kecuali ada keadaan yang tidak dijangka, dengan strategi pertumbuhan yang jelas, kami yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan dan memberikan nilai kepada pemegang kepentingan kami," ujarnya.
Pada 4QFY24, hasil HE Group mencatatkan penurunan kepada RM34.3 juta, berbanding RM58.9 juta pada suku sebelumnya (3QFY24), terutamanya disebabkan oleh beberapa projek sistem pengagihan kuasa pada 3QFY24.
Oleh itu, syarikat mencatatkan PAT yang lebih rendah iaitu RM3.4 juta pada 4QFY24 berbanding RM4.6 juta pada 3QFY24.
Bagaimanapun, margin PAT meningkat kepada 9.8% pada 4QFY24, berbanding 7.8% pada suku sebelumnya.
Setakat 31 Disember 2024, HE Group mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat dengan kedudukan tunai bersih dan aset bersih setiap saham sebanyak 14 sen, meningkat daripada 6 sen yang dilaporkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Di samping itu, aliran tunai operasi bersih syarikat meningkat kepada RM14.6 juta, berbanding RM14.1 juta pada 2023. - DagangNews.com








