Penasihat bebas syor IJM tolak tawaran Sunway kerana `tidak adil', `tidak munasabah' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penasihat bebas syor IJM tolak tawaran Sunway kerana `tidak adil', `tidak munasabah'

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Mac — Tawaran pengambilalihan terhadap IJM Corporation Bhd oleh Sunway Bhd disifatkan sebagai 'tidak adil dan tidak munasabah', menurut penasihat bebas yang dilantik untuk menilai cadangan tersebut.

 

Dalam pekeliling kepada pemegang saham, M&A Securities berkata harga tawaran yang dikemukakan oleh Sunway adalah pada diskaun sehingga 51% berbanding anggaran nilai sebenar saham IJM.

 

 

 

 

 

 

Firma penasihat itu turut berpandangan tawaran berkenaan tidak munasabah memandangkan saham IJM adalah cair dan aktif didagangkan, sekali gus membolehkan pemegang saham sedia ada terus mengambil bahagian dalam potensi pertumbuhan syarikat tanpa perlu menerima tawaran daripada Sunway.

 

Sehubungan itu, M&A Securities menasihatkan lembaga pengarah IJM supaya mengesyorkan pemegang saham syarikat menolak tawaran pengambilalihan tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IJM berkata lembaga pengarah syarikat telah bersetuju dengan kesimpulan serta syor yang dikemukakan oleh penasihat bebas berkenaan.

 

“Lembaga pengarah bersetuju dengan kesimpulan dan cadangan M&A Securities bahawa tawaran tersebut adalah tidak adil dan tidak munasabah.

 

“Sehubungan itu, lembaga pengarah secara sebulat suara mengesyorkan pemegang saham supaya menolak tawaran berkenaan,” kata IJM.

 

IJM tururt menasihatkan pemegang saham supaya meneliti dengan teliti syor Lembaga Pengarah dan M&A Securities berhubung tawaran tersebut sebelum membuat keputusan mengenai tawaran berkenaan.

 

Tawaran Tidak Adil

Menurut M&A Securities, harga tawaran yang ditawarkan mewakili premium antara 14.55% hingga 25.50% berbanding harga pasaran sejarah saham IJM.

 

Selain itu, ia juga mencerminkan premium 7.51% berbanding nilai aset bersih (NA) tidak diaudit bagi setiap saham IJM sebanyak RM2.93 setakat 31 Disember 2025.

 

Bagaimanapun M&A Securities berpendapat bahawa Harga Tawaran tersebut adalah TIDAK ADIL berdasarkan perkara berikut:

 

- Harga tawaran RM3.15 sesaham mewakili diskaun antara RM2.69 hingga RM3.33, atau kira-kira 46.1% hingga 51.4%, berbanding anggaran nilai setiap saham IJM yang dianggarkan antara RM5.84 hingga RM6.48 berdasarkan pendekatan Sum-of-Parts Valuation (SOPV).

 

- Nilai tersirat bagi balasan yang diterima oleh pemegang saham yang menerima tawaran — yang merangkumi tunai dan saham pertimbangan — dianggarkan sekitar RM3.08 sesaham.

 

 

 

 

 

Nilai ini mewakili diskaun antara 47.3% hingga 52.4% berbanding anggaran nilai setiap saham IJM antara RM5.84 hingga RM6.48 berdasarkan kaedah penilaian SOPV.

 

- Nisbah pertukaran tersirat saham IJM kepada saham Sunway di bawah tawaran tersebut adalah sekitar 0.501, yang dilihat jauh lebih rendah berbanding nisbah pertukaran tersirat sekitar 1.062 berdasarkan nilai pertengahan anggaran saham IJM sebanyak RM6.16- DagangNews.com