Penamatan subsidi telur jejaskan Teo Seng pada FY25, PublicInvest unjur hasil susut 26% bagi FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penamatan subsidi telur jejaskan Teo Seng pada FY25, PublicInvest unjur hasil susut 26% bagi FY26

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Feb — Langkah kerajaan menarik sepenuhnya subsidi telur kekal sebagai isu kritikal utama yang menjejaskan prestasi kewangan Teo Seng Capital Berhad bagi tahun kewangan 2025 (FY25).


Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), keadaan itu menyebabkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) merosot 46.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM34.3 juta.


Kerajaan mula mengurangkan subsidi daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji bermula 1 Mei 2025 sebagai langkah kawalan harga berperingkat sebelum campur tangan ditamatkan langsung pada 1 Ogos 2025


"Walaupun permintaan telur dijangka kekal kukuh dalam jangka pendek, namun prestasi setahun penuh ini selari dengan jangkaan merangkumi 105% anggaran setahun penuh," kata firma penyelidikan itu.


Bagi suku keempat FY25, hasil meningkat 3.2% YoY kepada RM194.4 juta, didorong prestasi lebih baik dalam segmen penternakan ayam apabila naik 3.3% YoY dan disokong permintaan telur yang tinggi.


Selain itu jelas PublicIvest, pertumbuhan sederhana Teo Seng dalam segmen dagangan produk kesihatan haiwan adalah stabil, tetapi secara suku ke suku (QoQ), hasil susut 3.6% akibat penurunan jualan.


Artikel berkaitan: Hasil 4QFY25 Teo Seng meningkat namun keuntungan terjejas susulan harga telur lebih rendah


Dari segi keuntungan, PATAMI teras 4QFY25 merosot 46.5% YoY, meskipun mencatat peningkatan 36.8% QoQ, dipacu kos makanan ternakan stabil dan harga jualan purata kukuh dalam segmen penternakan.


"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pendapatan akan menguncup sekitar 26% pada FY26 bagi mencerminkan kesan penuh penamatan subsidi kerajaan, sebelum pulih semula 8% pada FY27," katanya.


Situasi ini jelas PulicInvest, dijangka disokong permintaan telur yang stabil seiring pertumbuhan populasi, dan sumbangan produk hiliran bermargin lebih tinggi seperti telur cecair dan telur rebus.


Ia turut menekankan inisiatif kumpulan mengurangkan kebergantungan kepada pengedar pihak ketiga melalui peningkatan jualan langsung, yang dianggarkan mampu menjana penjimatan 3 sen sebiji telur.


Di samping itu jelas firma penyelidikan tersebut, pengukuhan ringgit dan kos makanan ternakan yang lebih rendah, bersama-sama pelaburan automasi, dijangka menyokong margin keuntungan Teo Seng.


"Kumpulan ini memperuntukkan perbelanjaan modal RM80 juta bagi FY26 untuk meningkatkan lagi tahap automasi, termasuk mesin penggredan dan pengumpulan telur secara automatik," kata PublicInvest.


Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran 98 sen, berdasarkan penilaian lima kali nisbah harga kepada pendapatan FY26. - DagangNews.com