Pemulihan permintaan pelantar gerudi angkut dijangka sokong pertumbuhan Velesto Energy - UOBKH Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan permintaan pelantar gerudi angkut dijangka sokong pertumbuhan Velesto Energy - UOBKH Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Jan - Velesto Energy Bhd dijangka mendapat sokongan daripada pemulihan permintaan global bagi pelantar gerudi angkut tahun ini, selain garis masa jelas untuk pelupusan rig Naga 3, kata UOB Kay Hian Research (UOBKH Research).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelupusan pelantar Naga 3 itu berpotensi menjana dividen khas sebanyak tiga sen sesaham.

 

Walaupun pelupusan pelantar mungkin menjadi pemangkin utama kenaikan harga saham baru-baru ini, ia tidak memasukkan dividen khas tersebut dalam penilaian.

 

Menurutnya, Velesto mempunyai masa sehingga Disember untuk mempertimbangkan sama ada dana itu akan disalurkan kepada pertumbuhan perniagaan baharu.

 

Sehubungan itu UOBKH Research menurunkan saranan saham kepada "HOLD" dengan harga sasaran tidak berubah pada 35 sen sesaham.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan nisbah enterprise value berbanding EBITDA pada tujuh kali, bagi mencerminkan ketahanan kewangan kumpulan dan komitmen untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham dalam kitaran industri semasa.

 

UOBKH Research turut mengekalkan unjuran pendapatan Velesto.


 
Risiko utama yang dinyatakan termasuk penggunaan pelantar yang lebih rendah daripada jangkaan dan penurunan kadar sewaan pelantar yang lebih besar daripada dijangka.

 

"Pembayaran dividen yang lebih rendah daripada jangkaan untuk tempoh yang berpanjangan juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap saham ini," kata UOBKH Research. - DagangNews.com