KUALA LUMPUR 27 Jun – Perkhidmatan perbankan asas yang melibatkan bayaran atau komisen seperti akaun semasa, akaun simpanan atau dompet elektronik tidak tertakluk kepada cukai perkhidmatan (SST), menurut penjelasan beberapa persatuan perbankan.
Perkhidmatan yang dikecualikan cukai tersebut ialah:
- yuran yang dikenakan ke atas deposit tunai
- pengeluaran, pembayaran atau pemindahan dana tempatan
- yuran bagi pengeluaran dan yuran tahunan kad kredit
- transaksi asas yang dilakukan di cawangan bank atau mesin juruwang automatik (ATM) – seperti pembayaran bil atau cetakan penyata akaun semasa dan simpanan.
“Ini dianggap sebagai perkhidmatan perbankan asas dan kekal di luar skop SST,” menurut satu kenyataan bersama daripada Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA).
Selain itu, yuran tahunan yang dikenakan ke atas kad kredit atau kad caj, serta faedah/keuntungan dan penalti atau caj-caj hukuman lain juga tidak akan tertakluk kepada cukai perkhidmatan sebanyak 8%, menurut kenyataan itu lagi.
Mereka menjelaskan bahawa cukai perkhidmatan hanya akan dikenakan ke atas perkhidmatan terpilih dalam sektor perbendaharaan, perbankan korporat dan perbankan pelaburan di bawah fasa pertama peluasan skop yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai.
“Semua bank di bawah ABM, AIBIM dan MIBA komited untuk bersikap telus. Di mana SST dikenakan, caj akan dipaparkan dengan jelas dan pelanggan akan dimaklumkan dengan sewajarnya.
“Sekiranya pelanggan tidak pasti tentang kesan peluasan skop cukai ini dan memerlukan penjelasan lanjut, sila hubungi bank anda secara langsung.
"Pasukan perkhidmatan pelanggan bersedia memberi penerangan dan sokongan yang diperlukan,” menurut kenyataan itu lagi.
“Kami menghargai perhatian orang ramai terhadap perkara ini dan akan terus komited untuk berkomunikasi secara terbuka dengan pelanggan.
"Industri perbankan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan peralihan ini dilaksanakan dengan jelas dan bertanggungjawab,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com








