KUALA LUMPUR 7 Nov – Kerajaan tidak terlibat dalam proses pelantikan untuk sistem kutipan tol aliran pantas pelbagai lorong (MLFF) sebaliknya menegaskan pemilihan itu dibuat oleh syarikat konsesi lebuh raya untuk memilih rakan kongsi yang mereka mahu.
Kementerian Kerja Raya juga memaklumkan pelaksanaan MLFF akan dijalankan tanpa melibatkan implikasi kewangan kerajaan
KKR berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada 25 Julai 2025.
“Syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan akan menjalankan kerjasama secara perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan syarikat konsesi lebuh raya.
“Kementerian tidak mengeluarkan permintaan cadangan untuk memilih syarikat atau konsortium bagi melaksanakan projek MLFF,” katanya, lapor The Edge.
Penjelasan itu dibuat susulan artikel The Edge bertajuk “Six bidders said to be vying for multi-lane free flow toll collection system contract” yang disiarkan baru-baru ini.
Difahamkan, kerajaan akan mempunyai garis panduan tertentu untuk syarikat konsesi lebuh raya bagi memastikan tahap keseragaman dalam setiap sistem MLFF yang dilaksanakan demi kemudahan pengguna jalan raya.
Pada bulan Ogos lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, syarikat konsesi lebuh raya diberikan tempoh dua tahun untuk memuktamadkan rakan kongsi mereka bagi pelaksanaan sistem MLFF.
MLFF adalah sistem kutipan tol tanpa palang yang bertujuan menggantikan kutipan tol di kaunter pada 33 lebuh raya di seluruh negara menggunakan gantri yang dilengkapi dengan teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) dan pengecaman nombor plat automatik.
Pada 2022, kerajaan melantik usaha sama antara Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd (KJS) dan SEP Synergy (M) Sdn Bhd sebagai syarikat tol pusat untuk sistem tol tanpa palang bernilai RM3.5 bilion.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan bahawa pelantikan itu berpotensi bercanggah dengan perjanjian konsesi sedia ada yang memberikan hak eksklusif kutipan tol kepada syarikat konsesi lebuh raya.
Awal tahun ini, Ahmad Maslan mengesahkan pelantikan usaha sama KJS-SEP Synergy telah tamat selepas gagal mencapai persetujuan dengan pengusaha lebuh raya menjelang 16 Disember 2024.








