Pemegang saham utama bantah cadangan Carimin menyahsenarai Sealink, usul tidak diteruskan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham utama bantah cadangan Carimin menyahsenarai Sealink, usul tidak diteruskan

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 1 Julai - Cadangan Carimin Petroleum Bhd untuk menyahsenaraikan dan menswastakan Sealink International Bhd bernilai RM165 juta tidak diteruskan berikutan bantahan pemegang saham utama terhadap cadangan tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sealink berkata, lembaga pengarahnya, tidak termasuk pengarah berkepentingan Lim Yew Hoe dan Lo Ling, memutuskan untuk tidak membentangkan cadangan skim pengaturan itu kepada pemegang saham selepas mengambil kira akujanji seorang pemegang saham utama untuk mengundi menentang cadangan berkenaan.

 

Pemegang saham itu memiliki lebih daripada 10% hak mengundi menerusi saham tidak berkepentingan, sekali gus melepasi ambang yang diperlukan untuk menyekat cadangan berkenaan di bawah peraturan pengambilalihan.

 

Sehubungan itu, cadangan tersebut tidak lagi berupaya memperoleh tahap kelulusan yang diperlukan dalam mesyuarat yang diperintahkan mahkamah, menyebabkan usaha Carimin untuk mengambil alih sepenuhnya Sealink menemui jalan buntu.

 

Pemegang saham terbesar Sealink ialah Carimin dengan pegangan sebanyak 19.5%, diikuti Yong Kiam Sam dengan 13.92% dan Yong Foh Choi sebanyak 9.14%.

 

Lembaga pengarah Sealink turut mengambil kira nasihat penasihat bebas, termasuk penilaian indikatif terhadap aset kapal dan hartanah syarikat sebelum memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan itu.

 

Tawaran 41 sen sesaham gagal raih sokongan

Cadangan penswastaan itu diumumkan pada 12 Mei lalu apabila Carimin menawarkan untuk memperoleh baki 80.5% kepentingan dalam Sealink yang belum dimilikinya pada harga tunai 41 sen sesaham.

 

Tawaran itu melibatkan pengambilalihan 402.5 juta saham, sekali gus meletakkan nilai keseluruhan urus niaga pada RM165 juta.

 

Harga tawaran tersebut mewakili premium kira-kira 20.6% berbanding harga dagangan terakhir Sealink pada 34 sen sesaham ketika cadangan itu diumumkan.


 

Carimin

 


Carimin sebelum ini memperoleh pegangan 19.5% atau 97.5 juta saham dalam Sealink daripada pengerusi eksekutifnya, Lo, yang menjual keseluruhan pegangannya pada Januari lalu pada harga 41 sen sesaham, iaitu harga yang sama ditawarkan dalam cadangan penswastaan itu.

 

Pada Jun lalu, Sealink meminta Carimin menambah baik tawarannya sebelum syarikat itu bersetuju melanjutkan tempoh penerimaan sehingga akhir Jun bagi membolehkan pertimbangan lanjut dibuat.

 

Bagaimanapun, dengan tempoh penerimaan berakhir pada 30 Jun, cadangan penswastaan itu kini secara rasmi dianggap luput.

 

Nilai aset bersih melebihi harga tawaran

Sehingga akhir Mac 2026, Sealink mencatatkan nilai aset bersih (NAV) sebanyak 45.44 sen sesaham, lebih tinggi daripada harga tawaran 41 sen sesaham.

 

Kumpulan itu juga berada dalam kedudukan tunai bersih sebanyak RM11.36 juta, dengan pegangan tunai RM42.57 juta berbanding jumlah pinjaman RM31.21 juta.

 

Dalam perkembangan berasingan, pemegang saham Sealink turut menolak pelantikan semula pengarah bukan bebas bukan eksekutif Eric Khoo Chuan Syn @ Khoo Chuan Syn dan Toh Kian Sing, serta pengarah eksekutif Datuk Fabian Ng Eng Hieng pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu pada Selasa.

 

Bagaimanapun, Lim dan Lo berjaya dipilih semula masing-masing sebagai pengarah eksekutif dan pengerusi eksekutif.

 

Saham Sealink ditutup tidak berubah pada 34 sen pada Selasa, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM170 juta, manakala saham Carimin ditutup pada 39 sen dengan nilai pasaran RM91.21 juta. - DagangNews.com