Pemegang saham HHRG mahu singkir seluruh lembaga pengarah, lantik 3 ahli baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham HHRG mahu singkir seluruh lembaga pengarah, lantik 3 ahli baharu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Mac — Pemegang saham Heng Huat Resources Group (HHRG) Berhad, iaitu Digital Trustees Berhad telah mengemukakan rancangan penyingkiran keseluruhan anggota lembaga pengarah syarikat dan pelantikan tiga ahli baharu dalam lembaga itu.
 

Dalam makluman yang difailkan kepada Bursa Malaysia, pengeluar bahan biojisim tersebut berkata, ia telah menerima permintaan bertulis daripada Digital Trustee untuk mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa bagi meluluskan resolusi khas berkenaan.
 

Ia akan menyaksikan lima orang pengarah yang terdapat dalam lembaga pengarah syarikat tersebut disingkirkan daripada peranan mereka, termasuk Timbalan Pengerusi Lembaga Eksekutifnya, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

 

Tiga resolusi lagi, jika diluluskan mesyuarat berkenaan, akan menyaksikan pula pelantikan Zam Azri Mohamed Zam Zamil, Mazlan Ahmad dan Low Xhu Hern masing-masing sebagai tiga pengarah baharu dalam lembaga pengarah.
 

Pada 11 Mac 2025, pemegang saham terbesar HHRG iaitu Cfamillie Holdings Sdn Bhd melupuskan keseluruhan 17.77 peratus pegangan syarikat tersebut dalam urus niaga luar pasaran untuk 0.5 sen sesaham.
 

Penjualan berkenaan mewakili diskaun sebanyak 94.5 peratus daripada harga penutupan pada hari yang sama sebanyak sembilan sen sesaham.
 

Dengan sebanyak 154.3 juta saham dijual, pelupusan tersebut memberikan perolehan bersih kepada Cfamillie berjumlah RM771,450.
 

Dagangan dalam saham HHRG telah dihentikan sehingga 10 pagi Isnin berikutan pengumuman itu. Setakat 10.52 pagi, saham itu didagangkan pada 10 sen sesaham, peningkatan satu sen berbanding harga rujukannya, selepas 2.76 juta saham selesai. - DagangNews.com