Pembinaan kapal LCS 4 TLDM masuk fasa pemasangan struktur utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembinaan kapal LCS 4 TLDM masuk fasa pemasangan struktur utama

Proses pemasangan badan kapal LCS 4 yang dilakukan di limbungan LUNAS di Lumut, Perak.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 13 April – Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang keempat dilihat lancar apabila kini memasuki fasa pemasangan struktur utama.

 

Perkembangan tersebut mencerminkan momentum baharu dalam usaha pihak LUNAS mempercepatkan projek yang sebelum ini berdepan isu kelewatan.

 

 

 

 

 

 

Pembinaan LCS 4 kini melibatkan kerja kritikal termasuk pemasangan sirip penstabil serta ‘erection blok’ haluan kapal (bulbous bow).

 

Komponen ini memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan kecekapan hidrodinamik kapal di laut.

 

Kapal

 

Perkembangan tersebut dikongsikan menerusi platform Facebook rasmi LUNAS, lantas memberi keyakinan bahawa projek berada di landasan lebih baik.

 

Untuk rekod, upacara peletakan lunas LCS 4 telah dilaksanakan pada 31 Oktober 2018 di limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut.

 

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Senator Liew Chin Tong.

 

Peletakan lunas merupakan permulaan proses penyambungan blok kapal secara modular di atas garis pembinaan utama.

 

Projek ini turut melibatkan kerjasama dengan Naval Group dari Perancis sebagai perunding teknikal.

 

Kapal

 

Kapal

 

Kapal
Imbas kembali majlis peletakan lunas kapal LCS keempat pada tahun 2018.

 

Secara keseluruhan, 5 buah kapal LCS dirancang dibina sebagai sebahagian pengukuhan armada TLDM iaitu kurang sebuah berbanding rancangan asal.

 

Menurut sumber tidak rasmi, LCS 4 dijangka dinamakan sebagai KD Mat Saleh sempena pahlawan Sabah.

 

Berdasarkan jadual semasa, kapal ini disasarkan untuk dilancarkan pada September tahun ini.

 

Sebelum ini, LCS 3 iaitu KD Sharif Mashor telah dilancarkan pada Februari lalu, manakala LCS 2, KD Raja Muda Nala pula dilancarkan pada Julai 2025.

 

Kapal pertama, KD Maharaja Lela, telah dilancarkan pada Mei 2024 dan kini menjalani fasa limbungan.

 

Perak
Kapal LCS pertama, KD Maharaja Lela kini dalam fasa ujian.

 

Kapal
Kapal LCS kedua, KD Raja Muda Nala.

 

Ia dijangka memulakan pelayaran sulung dalam masa terdekat sebagai langkah penting sebelum ditauliahkan.

 

LCS direka sebagai kapal tempur pelbagai peranan dengan keupayaan radar, peluru berpandu serta peperangan anti kapal selam.

 

 

 

 

 

 

Dengan keupayaan tersebut, LCS bakal menjadi tulang belakang TLDM dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara termasuk di Selat Melaka dan Laut China Selatan. - DagangNews.com