Pembangunan pantas menara Lubok Antu perkukuh liputan sempadan, pacu kecekapan operasi - MCMC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembangunan pantas menara Lubok Antu perkukuh liputan sempadan, pacu kecekapan operasi - MCMC

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 20 Nov - Kejayaan menyiapkan menara komunikasi di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu dalam tempoh kurang tiga bulan mencerminkan komitmen tinggi serta penyelarasan berkesan antara agensi Kerajaan Negeri Sarawak dan agensi Kerajaan Persekutuan bersama pemain industri komunikasi.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, menara berkenaan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 5 November lalu, selepas dimulakan pembinaan pada Ogos 2025.

 

Menurut MCMC, menara berkonsepkan perkongsian infrastruktur rangkaian (Rangkaian Teras Berbilang Pengendali, MOCN) itu direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) serta lima penyedia rangkaian mudah alih utama negara, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile dan YES.

 

"Pelaksanaan ini menyediakan liputan 4G yang lebih meluas dan stabil di kawasan sekitar ICQS Lubok Antu. 

 

“Peningkatan liputan itu dijangka memudahkan urusan pelancongan, memperkukuh kecekapan operasi pentadbiran di ICQS, serta meningkatkan koordinasi rentas sempadan dengan pihak berkuasa Indonesia, terutamanya dalam menangani situasi kecemasan yang melibatkan rakyat kedua-dua negara,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, MCMC telah melaksanakan tinjauan tapak bagi meninjau pengoperasian menara komunikasi baharu tersebut baru-baru ini.

 

MCMC menegaskan, kejayaan inisiatif ini membuktikan usaha berterusan dalam memperluas akses komunikasi mudah alih berkualiti selain memperkukuh aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan sempadan. - DagangNews.com