KUALA LUMPUR 17 Mac – Proses pemasangan landasan bagi keseluruhan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor sepanjang 519 kilometer telah berjaya disempurnakan.
China Communications Construction Sdn Bhd (CCCECRL) merupakan anak syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC), bertanggungjawab sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi projek ECRL di Malaysia.
Pencapaian tersebut menandakan fasa pembinaan landasan dan pemasangan sistem telah lengkap dan kini secara rasmi projek itu masuk ke fasa ujian dan pentauliahan.
Pengarah Urusan CCCECRL Deng Bo berkata fasa terakhir, iaitu Fasa 4 yang merangkumi jarak 126 kilometer dari Maran ke Gombak, yang bermula pada April 2025 berjaya disiapkan pada 5 Februari 2026, setengah bulan lebih awal daripada jadual asal.
“Kerja-kerja elektrifikasi sedang dijalankan sepanjang jajaran Kota Bharu-Gombak dan ketibaan tren Electric Multiple Unit (EMU) pula membolehkan ujian larian tanpa gagal (Fault Free Run - FFR) sejauh 8,000 kilometer dimulakan sebagai sebahagian daripada proses pentauliahan.
“Pencapaian ini membawa projek selangkah lebih dekat kepada operasi penuh yang dijangka pada Januari 2027, mencerminkan komitmen kami terhadap ketepatan, keselamatan dan kualiti bertaraf dunia untuk projek ini,” katanya.
CCCECRL menggunakan mesin pemasangan landasan jentera CCPG-500A, yang pertama kali digunakan di Malaysia bagi melengkapkan keseluruhan jajaran ECRL secara automatik.
Kerja pemasangan landasan ECRL secara rasmi bermula pada Disember 2023 dengan perkenan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuantan.

Jajaran projek diteruskan ke arah utara dari Kuantan Port City (KPC) ke Maran, seterusnya ke Dungun dan akhirnya sampai ke Kota Bharu, dengan jarak masing-masing 92 km, 95 km dan 206 km, mencerminkan kemajuan berterusan projek.
Sehingga Februari 2026, projek ECRL telah mencapai kira-kira 92.62% daripada keseluruhan kemajuan, menunjukkan kesiapsiagaan projek untuk memasuki peringkat ujian dan pentauliahan.
Projek ECRL merupakan salah satu projek utama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) antara China dan Malaysia, dibiayai oleh The Export-Import Bank of China.
Laluan sepanjang 665 kilometer ini dijangka siap sepenuhnya pada 2027 dan bakal menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor ke Pelabuhan Klang.
Dengan penyempurnaan pemasangan landasan ini, projek ECRL kini bersedia untuk ujian teknikal dan pentauliahan sebelum mula beroperasi sepenuhnya, memberi harapan kepada rakyat Malaysia untuk menikmati perkhidmatan kereta api moden di Pantai Timur dalam masa terdekat. - DagangNews.com








