Pemaju hartanah mewah Dubai, Binghatti pilih Malaysia sebagai hab pelaburan Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemaju hartanah mewah Dubai, Binghatti pilih Malaysia sebagai hab pelaburan Asia Tenggara

Malaysia dipilih sebagai hab pelaburan Asia Tenggara oleh Binghatti melalui kerjasama strategik dengan Swan Knights dan Skylink Global Consultancy
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Pemaju hartanah mewah berpangkalan di Dubai, Binghatti, secara rasmi memilih Malaysia sebagai hab pelaburan Asia Tenggara bagi menarik minat serantau terhadap portfolio pembangunan kediaman premium mereka di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Langkah strategik itu dilaksanakan susulan momentum berterusan dalam sektor hartanah Dubai, yang mencatatkan nilai transaksi melebihi AED 431 bilion (kira-kira RM498 bilion) bagi separuh pertama 2025, meningkat 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan memberangsangkan ini didorong oleh permintaan tinggi daripada pelabur asing, kerjasama antarabangsa yang semakin erat serta reputasi UAE sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan selamat, sekali gus merangsang kenaikan harga hartanah, kadar sewa yang kompetitif dan mengekalkan kecairan domestik yang stabil.

 

Sebagai sebahagian daripada pengukuhan kehadiran serantau, Binghatti memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Swan Knights, firma penasihat pelaburan berpangkalan di Hong Kong, dan Skylink Global Consultancy, agensi pemasaran dari Malaysia.

 

Kerjasama ini bertujuan memperkukuh saluran pelaburan, sokongan pemasaran, serta perkhidmatan pelanggan yang lebih menyeluruh kepada bakal pembeli dan pelabur dari Asia Tenggara.

 

Pengurus Jualan Binghatti, Lucky Zhang berkata, kerjasama tersebut adalah sebagai komitmen syarikat untuk menyediakan pengalaman pelaburan yang telus, berintegriti dan berorientasikan nilai jangka panjang.

 

“Salah satu projek utama yang dipromosikan ialah Aquarise, pembangunan ultra-mewah tepi air di Business Bay, Dubai, yang dijangka siap antara akhir 2026 hingga pertengahan 2027.

 

“Malaysia dipilih kerana kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Tenggara, dengan ekosistem kewangan yang kukuh dan pangkalan pelabur antarabangsa yang aktif,” katanya.

 

test
Kediaman mewah Aquarius di Dubai

 

Malaysia akan menjadi platform permulaan permulaan strategik bagi pelabur hartanah dari Asia Tenggara yang menawarkan akses awal melalui pratonton eksklusif, khidmat rundingan komprehensif, serta sokongan menyeluruh selepas jualan untuk pembeli tempatan dan serantau.

 

Beliau berkata, langkah ini mengambil kira permintaan yang semakin meningkat terhadap hartanah antarabangsa dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan tinggi yang dijangka meningkat sebanyak 35% dalam tempoh lima tahun iaitu antara kadar pertumbuhan tertinggi di Asia.

 

“Di samping itu, Malaysia memiliki infrastruktur kewangan yang matang untuk menyokong transaksi rentas sempadan, manakala penerbangan terus ke Dubai memperkukuh lagi kedudukannya sebagai pintu masuk pelaburan serantau ke pasaran yang mesra cukai dan pesat membangun seperti UAE,” katanya.

 

Kediaman mewah Aquarise menampilkan rekaan seni bina ikonik berinspirasikan aliran air, dilengkapi teknologi rumah pintar serta kemudahan bertaraf resort untuk gaya hidup moden dan eksklusif.

 

Terletak strategik di Business Bay – kawasan premium berhampiran pusat bandar Dubai, Burj Khalifa dan Terusan Dubai, projek ini menawarkan unit kediaman bermula daripada AED 1 juta (anggaran RM1.16 juta).

 

Projek lain seperti Skyhall dan Skyrise juga sedang dalam pembinaan, memperluas lagi pilihan pelaburan mewah dalam portfolio Binghatti.

 

Baru-baru ini, Binghatti melaporkan prestasi kewangan yang kukuh, dengan keuntungan bersih sebanyak AED 1.82 bilion bagi separuh pertama 2025, meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

 

Sebanyak 61 peratus daripada unit yang dijual adalah kepada pembeli antarabangsa, menonjolkan daya tarikan global hartanah Binghatti dan pasaran Dubai secara keseluruhan.

 

Dengan nilai pembangunan melebihi AED 50 bilion (sekitar RM58 bilion), Binghatti telah berjaya menyiapkan lebih 80 projek melibatkan lebih 11,000 unit kediaman, menjadikannya pemain global yang dikenali menerusi rekabentuk seni bina ikonik serta rekod pelaksanaan projek yang terbukti cemerlang.- DagangNews.com