KUALA LUMPUR 18 Mei – Sektor pelancongan perubatan Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan positif meskipun pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus ke atas beberapa perkhidmatan penjagaan kesihatan terpilih.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkembangan itu membuktikan keyakinan berterusan pesakit antarabangsa terhadap sistem penjagaan kesihatan negara yang berkualiti tinggi dan menawarkan kos rawatan kompetitif.
Beliau berkata, Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan pesakit asing khususnya di hab perubatan utama seperti Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang.
“Di hospital swasta di Pulau Pinang, ramai pesakit datang dari luar negara kerana Malaysia masih menawarkan perkhidmatan kesihatan yang sangat baik pada harga berpatutan.
“Jika anda ke hospital di Johor atau Lembah Klang, anda juga akan melihat peningkatan permintaan daripada pelancong asing yang datang mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Intel di George Town Pulau Pinang hari ini.
Sebelum itu, beliau turut melawat jajaran projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara serta projek pembangunan Silicon Island.
Menurut Amir Hamzah, Malaysia kini muncul antara destinasi utama pelancongan perubatan di rantau ini hasil sokongan hospital swasta bertaraf antarabangsa, tenaga profesional kesihatan yang mahir serta kos rawatan yang lebih rendah berbanding negara lain.
Beliau berkata, sektor pelancongan perubatan mempunyai kesan limpahan ekonomi yang besar termasuk mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan permintaan sektor hospitaliti dan merangsang pelaburan dalam penjagaan kesihatan.
“Saya fikir ini adalah sektor yang sedang berkembang dan perlu terus disokong,” katanya.
Mengulas pelaksanaan SST, Amir Hamzah berkata cukai itu diperkenalkan bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memperluaskan sumber hasil kerajaan tanpa memberi beban berlebihan kepada rakyat.
Katanya, kerajaan turut menyediakan pengecualian dan langkah bersasar bagi memastikan sektor strategik termasuk penjagaan kesihatan dan pelancongan perubatan kekal berdaya saing. - DagangNews.com








