KUALA LUMPUR 30 April - Hong Leong Industries Berhad (HLIND) pengeluar motosikal jenama Yamaha merancang memperkenalkan antara 15 hingga 17 model baharu termasuk versi naik taraf dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, dengan harga yang kompetitif mengikut segmen sasaran masing-masing, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu yang membuat lawatan ke kilang pengeluaran Yamaha milik HLIND di Sungai Buloh berkata, inisiatif itu dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan berterusan kumpulan.
Menurutnya, syarikat itu dijangka terus memanfaatkan perubahan trend global motosikal bagi mengembangkan segmen perniagaan tersebut.
"Kami mengekalkan pandangan optimistik terhadap HLIND, menjangkakan satu lagi tahun rekod bagi tahun kewangan berakhir 2026 (FY26), dengan keuntungan bersih diunjurkan antara RM552.2 juta hingga RM572.2 juta.
"Angka itu mengatasi unjuran terdahulu, didorong oleh pelancaran model baharu yang lebih menarik, sekali gus meningkatkan jumlah jualan dan margin keuntungan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Kekal Dominan
Kenanga Research menambah, selain itu, HLIND dijangka terus mengekalkan kedudukan dominan dalam pasaran motosikal Malaysia, disokong oleh strategi produk yang agresif serta keupayaan pengeluaran yang mantap.
Sejajar dengan prospek yang lebih cerah, firma itu menaikkan unjuran keuntungan bersih sebanyak 9% masing-masing bagi FY26 dan FY27.
Sasaran harga (TP) turut disemak naik sebanyak 11% kepada RM21.00 berbanding RM18.90 sebelum ini, selepas mengambil kira penilaian yang dilanjutkan kepada tahun kewangan 2027 (FY27F).
Penarafan “OUTPERFORM” dikekalkan, dengan HLIND turut menawarkan daya tarikan tambahan menerusi anggaran hasil dividen sekitar 6%, menjadikannya antara pilihan utama dalam sektor automotif tempatan. - DagangNews.com








