KUALA LUMPUR 18 Nov – Kerajaan menjamin kelancaran pelaksanaan program subsidi bersasar petrol RON95, BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan mekanisme pengesahan melalui kad pengenalan MyKad.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, semua warganegara Malaysia yang memegang MyKad serta memiliki lesen memandu aktif layak membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan had bulanan 300 liter.
“Program ini dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan anggota tentera dan polis pada 27 September 2025, diikuti penerima STR pada 28 September, sebelum diperluas kepada rakyat Malaysia yang layak pada 30 September.
“Pelaksanaan berperingkat membolehkan kerajaan melakukan ujian awal sistem dalam skala kecil untuk mengenal pasti dan menambah baik sebarang kelemahan teknikal, logistik atau operasi.
“Setakat ini, sistem BUDI95 beroperasi dengan stabil dan tiada laporan pengguna terpaksa menunggu atau berbaris panjang di stesen minyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai kemungkinan berlakunya kesesakan panjang di stesen minyak seperti yang berlaku terhadap pengesahan SARA pada 31 Ogos lalu dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Lim berkata, kelancaran program BUDI95 juga berikutan ia dilengkapi dengan kapasiti pelayan yang lebih tinggi berbanding program Penghargaan SARA.
“Sistem BUDI95 mampu memproses lebih 30,000 transaksi seminit, melebihi 10 kali ganda kemampuan sistem SARA yang hanya 3,000 transaksi seminit.
“Sehingga 17 November 2025, sebanyak 143.5 juta transaksi telah dicatat melibatkan 13.6 juta rakyat, dengan kadar transaksi puncak 41,200 transaksi seminit dan purata 15,000 transaksi seminit,” katanya.
Tambahnya, kerajaan turut mengambil maklum cabaran rakyat di kawasan pedalaman, terutamanya mereka yang tinggal jauh dari stesen minyak dan mempunyai akses terhad kepada bahan api bersubsidi.
“Bagi memastikan liputan lebih menyeluruh, kerajaan telah menyediakan Terminal MyKad yang boleh disambungkan kepada rangkaian WiFi atau menggunakan kad SIM untuk capaian internet lebih stabil.
“Kementerian Kewangan juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memperkukuh liputan rangkaian di kawasan pedalaman serta menangani sebarang isu capaian dengan lebih cepat.
“Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan program BUDI95 lebih inklusif, berkesan dan mampu memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








