Pelaburan hartanah catat RM78.2 bilion pada 2025, modal ekuiti persendirian naik 87% - Knight Frank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan hartanah catat RM78.2 bilion pada 2025, modal ekuiti persendirian naik 87% - Knight Frank

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 Jun – Landskap pelaburan hartanah Malaysia dilihat sedang mengalami perubahan besar apabila modal persendirian dan pejabat keluarga semakin mendominasi pasaran, jelas Knight Frank.

 

Firma perunding hartanah itu berkata, perkembangan tersebut sekali gus mengurangkan kebergantungan tinggi kepada golongan pelabur institusi tradisional yang selama ini menguasai pasaran tempatan.


Sektor hartanah negara merekodkan pelaburan berjumlah RM78.2 bilion sepanjang 2025, sebahagian daripada jumlah pelaburan diluluskan Malaysia yang mencatat rekod tertinggi RM426.7 bilion.


"Prestasi memberangsangkan tersebut turut disokong oleh lonjakan 86.7% tahun ke tahun (YoY) dalam pelaburan ekuiti persendirian dan modal teroka," tambah Knight Frank dalam laporan analisisnya.


Di peringkat global pula katanya, modal swasta termasuk individu bernilai bersih ultra tinggi (UHNWI) dan pejabat keluarga terus mengatasi pelabur institusi untuk tahun keempat berturut-turut.


Sejumlah AS$464 bilion (RM1.8 trilion) dilaburkan dalam pasaran hartanah komersial tahun lalu, dan daripada itu, AS$139.1 bilion (RM564.5 bilion) disalurkan menerusi pelaburan rentas sempadan.


Ketua Pasaran Modal Global Knight Frank, Nick Braybrook menerusi kenyataan firma tersebut berkata, pasaran hartanah komersial di seluruh dunia pada Ketika ini memasuki fasa baharu pertumbuhan.


"Situasi ini disebabkan faktor penyesuaian harga aset, kestabilan kadar faedah serta prospek pendapatan yang lebih jelas mula menarik semula aliran modal ke dalam pasaran," tambah beliau.
 

 

hartanah_DagangNews2026



Di Malaysia, modal swasta dan pejabat keluarga muncul sebagai pemacu pertumbuhan utama sektor hartanah komersial dengan beberapa transaksi berprofil tinggi direkodkan sepanjang tahun lalu.


Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, antara transaksi terbesar di negara ini ialah pengambilalihan bernilai RM1.1 bilion dalam pembangunan The Exchange TRX.


Pengenalan rangka kerja pejabat keluarga tunggal (SFO) di Zon Kewangan Khas Forest City, Johor turut menjadi pemangkin penting memacu pelaburan golongan bernilai tinggi tempatan dan global.


"Setakat akhir 2025, program itu berjaya menarik sembilan pejabat keluarga yang menguruskan aset berjumlah AS$169 juta, dengan sasaran peningkatan jumlah kepada RM2 bilion akhir 2026," katanya.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pasaran Modal dan Pelaburan Knight Frank Malaysia, James Buckley berkata, dominasi modal swasta semakin ketara kerana kelebihan kelajuan membuat keputusan.


Golongan berkenaan tambah beliau lagi, mempunyai akses kepada sumber modal pelbagai serta tahap toleransi risiko lebih tinggi berbanding pelabur institusi yang lebih berhati-hati dalam tindakan.


Beliau turut menjangkakan trend itu terus berkembang sejajar pertumbuhan kekayaan global, dengan jumlah pejabat keluarga di seluruh dunia diunjurkan mencecah 10,000 buah tahun ini.


"Perkembangan itu dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi yang semakin menarik bagi modal swasta dan pelaburan hartanah komersial di rantau ini," katanya. - DagangNews.com