KUALA LUMPUR 25 Ogos – Peguam kepada Datuk Farhash Wafa Salvador telah menghantar sepucuk surat kepada bekas menteri ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, menuntut beliau memohon maaf serta menurunkan sebuah video di mana Rafizi mendakwa beliau bertemu seorang pemberi maklumat yang mendedahkan urusan perniagaan Farhash, dalam tempoh 48 jam.
Tuntutan itu berkaitan dengan video yang dimuat naik oleh Rafizi pada 20 Ogos 2025. Peguam Farhash berkata, Rafizi membuat dakwaan palsu yang menjejaskan reputasi anak guam mereka, menarik perhatian yang tidak diingini, serta secara salah menggambarkan seolah-olah beliau mempunyai kaitan dengan serangan jarum suntikan terhadap anak lelaki Rafizi pada 13 Ogos 2025.
Dalam video tersebut, Rafizi berkata terdapat pihak yang cuba mengaitkan siasatan serangan ke atas anaknya dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin bagi mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.
Beliau turut menyatakan pertemuannya dengan pemberi maklumat sebelum serangan itu adalah mengenai urusan perniagaan Farhash.
Surat ‘berhenti dan hentikan’ (cease and desist) bertarikh 22 Ogos itu menuntut Rafizi supaya:
Segera berhenti daripada menyebarkan video tersebut atau sebarang kandungan palsu yang serupa.
Menurunkan video itu daripada Facebook, laman web Rafizi, serta semua platform lain.
Membuat permohonan maaf dan penarikan balik secara terbuka dengan jelas di semua media sosial milik Rafizi dalam tempoh 48 jam.
Rafizi dalam satu kenyataan mengakui bahawa beliau telah menerima surat tuntutan supaya membuat permohonan maaf itu.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan yang dibuatnya adalah berdasarkan fakta dan beliau bersedia mempertahankannya di mahkamah.
“Saya telah merujuk perkara ini kepada peguam saya, Razlan Hadri Zulkifli dari firma Messrs Gan, Ho & Razlan Hadri, untuk tindakan selanjutnya.
“Saya percaya sekiranya Datuk Wira Farhash meneruskan untuk memfailkan saman di mahkamah, ia akan menjadi perkara berkepentingan awam dan memberikan peluang kepada peguam saya untuk membangkitkan persoalan yang telah lama ditanyakan oleh pelbagai pihak,” katanya.
Pada 13 Ogos lalu, anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun telah ditikam dengan jarum suntikan dalam satu serangan oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Rafizi menyifatkan serangan itu sebagai serangan terancang untuk membungkamnya selepas beliau bertemu dengan seorang pemberi maklumat berhubung urusan perniagaan yang sedang disiasatnya, seminggu sebelum itu. Isteri Rafizi turut menerima mesej ugutan pada keesokan harinya. - DagangNews.com








