KUALA LUMPUR 27 Ogos - Malakoff Corporation Berhad melaporkan keuntungan lebih rendah bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berikutan bayaran tenaga yang lemah serta ketiadaan keuntungan sekali sahaja yang direkodkan tahun lalu.
Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATMI) Kumpulan mencatatkan RM62.8 juta, susut 33% berbanding RM93.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Pendapatan juga berkurang 12.5% kepada RM2.02 bilion daripada RM2.31 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2024 (Q2 FY2024), didorong oleh kejatuhan harga arang batu terpakai (ACP) dan sumbangan lebih rendah daripada loji arang batu Tanjung Bin serta loji janakuasa gas Segari Energy Ventures di Perak.
Suku kedua tahun lalu turut disokong oleh keuntungan pampasan pengambilan tanah secara paksa yang tidak berulang pada tahun ini.
Bagaimanapun, PATMI sebahagiannya disokong oleh pembalikan peruntukan nilai boleh direalisasi bersih bagi inventori arang batu, berikutan jangkaan harga arang batu yang lebih kukuh serta pemulihan beransur-ansur permintaan global sepanjang 2025.
Secara suku ke suku, Malakoff merekodkan peningkatan PATMI sebanyak 85% berbanding suku pertama tahun kewangan 2025 (Q1 FY2025), sekali gus menunjukkan keuntungan yang lebih baik walaupun hasil lebih lembap.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata prestasi syarikat menggambarkan ketahanan operasi dan kemajuan dalam anjakan strategik ke arah pertumbuhan mampan.
“Kami terus beroperasi dengan menguntungkan, menumpukan kepada kecekapan operasi Kumpulan dalam persekitaran sektor dan operasi yang mencabar. Fokus kami terhadap tiga tonggak strategik iaitu Penyelesaian Hijau, Penyelesaian Alam Sekitar dan Tenaga dijangka mewujudkan nilai jangka panjang yang melengkapi inisiatif pertumbuhan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara perkembangan utama, Malakoff berjaya memperoleh konsesi sisa-ke-tenaga (waste-to-energy) bagi fasiliti Sungai Udang di Melaka, yang merupakan projek pertama seumpamanya untuk Kumpulan. Loji tersebut direka memproses sehingga 1,056 tan sisa pepejal harian, menukar kepada kira-kira 22MW tenaga boleh diperbaharui (RE) di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga bersama Tenaga Nasional Berhad.
Kumpulan turut memperkukuh portfolio tenaga boleh diperbaharui melalui memorandum persefahaman dengan Evergreen Earth di Sarawak, yang membuka peluang dalam projek solar berskala besar dan inisiatif hijau lain.
Selain itu, Malakoff telah mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Tenaga bagi pembangunan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100MW/400MWh bagi menyokong kestabilan grid serta integrasi tenaga boleh diperbaharui.
“Projek-projek ini bukan sahaja menyokong peralihan tenaga negara, malah memberikan manfaat ekonomi seperti penciptaan pekerjaan, pembangunan kemahiran bakat tempatan dan pertumbuhan infrastruktur luar bandar,” tambah Anwar.
Malaysia menyasarkan 70% kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga menjelang 2050, dan pelaburan Malakoff dalam sisa-ke-tenaga, solar serta sistem penyimpanan meletakkannya sebagai pemain penting dalam menyokong aspirasi tersebut. - DagangNews.com








