KUALA LUMPUR 6 Mac - Sasaran Paramount Corporation Berhad untuk meningkatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan sebanyak RM100 juta hingga RM150 juta menjelang 2030 berpotensi dicapai disokong oleh pertumbuhan jualan dalam segmen pembangunan hartanah, menurut TA Securities.
Menurut firma penyelidikan itu, dengan andaian jualan berkembang sekitar 10% setahun daripada unjuran tahun kewangan 2026 (FY26) sebanyak RM1.06 bilion, nilai jualan berpotensi meningkat kepada kira-kira RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion menjelang 2030.
"Perkembangan itu dijangka mampu menjana tambahan PBT sekitar RM70 juta hingga RM80 juta dengan andaian margin keuntungan sekitar 15%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Selain itu menurut TA Securities, Paramount yang turut meletakkan sasaran untuk menaikkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) kepada sekitar 10%, boleh menggunakan strategi kitar semula aset kumpulan sebagai pemacu pilihan kepada peningkatan keuntungan.
Inisiatif tersebut melibatkan pengkomersilan kira-kira RM900 juta aset berpulangan rendah yang ketika ini hanya menjana pulangan sekitar 1%.
"Sekiranya hasil tersebut dilaburkan semula ke dalam projek pembangunan dengan pulangan modal sekitar 6% hingga 7%, ia berpotensi meningkatkan sumbangan keuntungan sebanyak RM45 juta hingga RM54 juta," katanya.
Dalam masa sama, sumbangan tambahan daripada perniagaan makanan di bawah Envictus International Holdings Limited serta platform ruang kerja bersama Co-labs turut dijangka menyokong pertumbuhan keuntungan kumpulan.
Dari segi kedudukan kewangan, TA Securities berkata Paramount masih mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menyokong pelan pengembangannya.
"Dengan andaian 70% pembiayaan hutang bagi pemerolehan tanah yang telah diumumkan tetapi masih belum dimuktamadkan, nisbah gear bersih dianggarkan meningkat kepada sekitar 0.75 kali berbanding kira-kira 0.6 kali ketika ini.
"Walaupun peningkatan tersebut buat sementara waktu melebihi julat sasaran kumpulan, ia dilihat masih boleh diuruskan memandangkan jangkaan peningkatan pendapatan hasil pertumbuhan pembangunan hartanah dan pelaksanaan strategi kitar semula modal," katanya. - DagangNews.com








