KUALA LUMPUR 19 Nov – Keuntungan bersih Paramount Corp Bhd meningkat kepada 52.65 peratus pada suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY2025), disokong oleh penebusan baki sekuriti kekal yang masih belum dijelaskan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM25.02 juta atau 4.02 sen sesaham bagi suku berakhir 30 September 2025, berbanding RM16.39 juta atau 2.63 sen sesaham pada tempoh sama tahun lalu.
“Hasil suku tersebut bagaimanapun menurun 11.26 peratus kepada RM242.73 juta daripada RM273.53 juta setahun lalu,” katanya dalam makluman itu.
Paramount turut memaklumkan tiada dividen dicadangkan bagi tempoh berkenaan.
Syarikat itu membayar RM1.17 juta kepada pemegang sekuriti hutang swasta bagi suku ketiga, berkurangan 74.14 peratus daripada RM4.53 juta yang dibayar pada suku yang sama tahun lepas.
Paramount berkata, bagi segmen hartanah, hasil 3QFY2025 susut 11.64 peratus kepada RM229.8 juta, dengan projek Atera di Selangor, Utropolis Batu Kawan di Pulau Pinang dan Bukit Banyan di Kedah menjadi penyumbang utama.
“Selaras dengan prestasi itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen berkenaan menurun 8 peratus kepada RM36.5 juta daripada RM39.8 juta sebelumnya.
“Segmen ruang pejabat bersama pula mencatatkan hasil lebih rendah sebanyak 8 peratus kepada RM5.2 juta akibat pendapatan reka bentuk dan bina (design-and-build) yang menurun di Scalable Malaysia.
“Walaupun pendapatan segmen ini menurun, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM500,000 berbanding RM200,000 sebelum ini, disokong oleh projek design-and-build yang memberi keuntungan lebih tinggi,” katanya.
Segmen pelaburan dan lain-lain merekodkan pertumbuhan hasil 9 peratus kepada RM9 juta daripada RM8.3 juta, dipacu oleh restoran Dewakan, hotel Mercure Kuala Lumpur Glenmarie dan hartanah pendidikan.
Paramount berkata, kerugian sebelum cukai segmen ini turut mengecil kepada RM1.9 juta berbanding RM8 juta dalam 3QFY2024, disokong ketiadaan rosot nilai terhadap syarikat bersekutu pendidikan yang direkodkan tahun lalu.

“Prestasi positif itu turut melonjakkan keuntungan sembilan bulan pertama tahun ini kepada RM61.22 juta, meningkat 26.68 peratus berbanding RM48.33 juta pada tempoh sama tahun lalu.
“Hasil bagi tempoh Januari hingga September juga meningkat 2.07 peratus kepada RM693.11 juta berbanding RM679.08 juta sebelumnya,” kata Paramount.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Paramount, Jeffrey Chew berkata, kumpulan itu akan terus mengambil pendekatan berhati-hati untuk sebarang pelancaran projek dan berasaskan permintaan bagi baki tahun ini.
“Syarikat turut giat meneroka pengambilalihan tanah strategik bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Sehingga 30 September 2025, Paramount memiliki tanah belum dibangunkan seluas 332.2 ekar, dan akan menambah 314.52 ekar lagi selepas selesai dua perjanjian jual beli yang dimeterai pada Julai dan Ogos tahun ini.
Portfolio hartanah untuk dijual berjumlah RM1.7 bilion manakala jualan belum dibilkan (unbilled sales) berjumlah RM1.6 bilion.
Mengenai segmen perniagaan ruang kerja bersama (co-working), Chew menjangkakan prestasi kewangan akan lebih kukuh pada suku keempat 2025, disokong sumbangan Co-labs Coworkings dan Scalable Malaysia.
Beliau berkata, ruang baharu Co-labs Coworking di KL Sentral mencatat pengambilan yang baik dalam beberapa bulan pertama beroperasi, selain jangkaan peningkatan kadar penghunian di semua cawangan.
“Syarikat juga sedang meluaskan kehadiran ke luar Lembah Klang dengan pembukaan ruang baharu di Mid Valley Southkey, Johor Bahru pada suku akhir tahun ini.
“Bagi segmen pelaburan dan lain-lain, Paramount terus meneroka peluang pelupusan aset bagi meningkatkan kecekapan modal dan memaksimumkan pulangan pemegang saham,” katanya.- DagangNews.com








