Paos Holdings kemuka bukti hutang RM16.1 juta terhadap syarikat runcit petroleum dilikuidasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paos Holdings kemuka bukti hutang RM16.1 juta terhadap syarikat runcit petroleum dilikuidasi

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 15 April - Paos Holdings Berhad memaklumkan subsidiari milik penuhnya, Paos Industries Sdn. Bhd., telah mengemukakan bukti hutang berjumlah RM16.1 juta kepada pelikuidasi Nikmat Mujur Sdn. Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata bukti hutang tersebut dikemukakan pada Selasa berhubung tunggakan penghutang dagangan yang terhutang oleh Nikmat Mujur, sebuah syarikat peruncitan petroleum.

 

Paos Holdings berkata, pemulihan jumlah berkenaan tertakluk kepada ketersediaan dana daripada estet pelupusan syarikat tersebut serta keutamaan tuntutan pemiutang, dan tiada jaminan bahawa jumlah itu dapat dipulihkan sepenuhnya.

 

Sehubungan itu, syarikat tidak dapat memberi jaminan bahawa keseluruhan amaun berkenaan akan diperoleh semula, yang sekali gus boleh menjejaskan baki tertunggak dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.

 

Tambahnya, cadangan rosot nilai itu dijangka mengurangkan pendapatan kumpulan serta menurunkan aset bersih sesaham sebanyak 8.89 sen.

 

Bagi suku kedua berakhir 31 Mei 2026, kerugian bersih Paos melebar kepada RM1.61 juta berbanding RM1.29 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil pula merosot 94% kepada RM9.06 juta daripada RM149.28 juta sebelumnya.

 

Saham Paos Holdings berada di paras 28 sen ketika bursa berhenti rehat tengahari, susut daripada 31 sen, sekali gus meletakkan permodalan pasaran kumpulan itu pada RM50.73 juta.

 

Dalam tempoh setahun, saham syarikat tersebut meningkat 24%. - DagangNews.com