Pakar Strategi Global Ramal Ringgit Kukuh RM3.85, KLCI Cecah 1,900 – Pelabur Asing Bersedia Serbu Malaysia! | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pakar Strategi Global Ramal Ringgit Kukuh RM3.85, KLCI Cecah 1,900 – Pelabur Asing Bersedia Serbu Malaysia!

Gambar visual ini dijana secara Kecerdasan Buatan - Editor
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 19 Feb - Malaysia dijangka mengatasi prestasi ekonomi utama Asia Tenggara pada 2026 dengan pengukuhan Ringgit Malaysia, kenaikan pasaran saham dan daya tahan pasaran bon kerajaan, menurut pakar strategi pasaran global, Dr. Sailesh Kumar Jha.

 

Dalam perubahan pendirian yang ketara berbanding pandangan bearish sebelum ini, beliau kini mengunjurkan Ringgit Malaysia didagangkan dalam julat RM3.85 hingga RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2026, Indeks FBM KLCI meningkat ke paras 1,900, manakala hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kekal di bawah paras 4.0% walaupun kadar global meningkat.

 

“Malaysia akan mengatasi ekonomi utama Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand dari segi prestasi mata wang pada 2026,” katanya kepada DagangNews, baru-baru ini.

 

Beliau turut menjangkakan pasaran saham Malaysia muncul sebagai kedua terbaik di rantau ini, manakala pasaran bon kerajaan 10 tahun berada di kedudukan kedua terbaik di Asia Tenggara.


 

dr sailesh kumar jha
Dr. Sailesh Kumar Jha berbicara panjang lebar mengenai prospek ekonomi Malaysia dengan DagangNews.com di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Gambar oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH 

 

Ringgit Malaysia Dijangka Kukuh Pada 2026

Dr. Jha menjangkakan kadar tukaran dolar AS/Ringgit Malaysia didagangkan dalam julat RM3.85 hingga RM3.95 pada 2026 berbanding sekitar RM3.90 ketika ini, disokong momentum reformasi fiskal yang berterusan serta aliran masuk modal asing yang semakin meningkat.

 

Katanya, pengukuhan Ringgit Malaysia sejak mencecah paras intra-hari RM4.79 pada Oktober 2023 kepada sekitar RM3.90 kini bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan dolar AS, sebaliknya mencerminkan penambahbaikan dasar yang bersifat struktural.

 

Beliau turut menjangkakan Indeks Dolar AS (DXY) didagangkan dalam julat 97 hingga 101 pada 2026, menandakan fasa kelemahan puncak dolar AS mungkin telah berlalu.

 

Disiplin Fiskal Ubah Landskap Ekonomi

Dr. Jha mengunjurkan defisit baki primer Malaysia menyusut kepada sekitar 0.8% dalam tempoh dua tahun akan datang, berbanding sekitar 4.0% pada 2021 dan kira-kira 1% pada 2025.

 

Perbelanjaan operasi dijangka menurun kepada sekitar 16.0% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala kesan reformasi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi bahan api berpotensi mengurangkan bil subsidi dan bantuan sosial kepada sekitar 2.4% daripada KDNK.

 

Beliau menambah, nisbah deposit mata wang asing kepada KDNK dalam sistem perbankan domestik kekal stabil sekitar 15% sejak tiga tahun lalu, mencerminkan sentimen yang lebih kukuh terhadap Ringgit Malaysia.

 

KLCI Cecah 1,900, FDI Meningkat

Dalam pasaran ekuiti, Dr. Jha menjangkakan pelabur institusi asing akan memacu FBM KLCI ke paras sekitar 1,900 pada 2026 berbanding kira-kira 1,737 ketika ini.

 

Pertumbuhan KDNK sekitar 5.5% hingga 6.0% serta peningkatan asas sektor perbankan, hartanah dan teknologi dijangka menyokong penilaian pasaran yang lebih tinggi.

 

Nisbah Pelaburan Langsung Asing (FDI) kepada KDNK pula diunjurkan meningkat kepada sekitar 1.5% daripada kira-kira 1.0%, dipacu pelaburan sektor kenderaan elektrik (EV), logistik, pusat data dan pembuatan semikonduktor.

 

Program Malaysia My Second Home (MM2H) juga dijangka terus menarik aliran masuk modal ke pasaran hartanah kediaman, khususnya di Kuala Lumpur.

 

Hasil MGS 10 Tahun Kekal Terkawal

Dr. Jha menjangkakan hasil MGS 10 tahun meningkat sederhana kepada sekitar 3.65% hingga 3.75% pada 2026 berbanding sekitar 3.54% ketika ini, selari dengan kenaikan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun.

 

Bagaimanapun, permintaan domestik yang kukuh serta peningkatan peruntukan daripada dana kekayaan berdaulat antarabangsa dijangka memastikan hasil MGS kekal di bawah 4.0% bagi sebahagian besar tahun 2026.

 

Daripada Bearish Kepada Bullish

Dr. Jha yang sebelum ini berpandangan berhati-hati terhadap Malaysia antara 2020 hingga 2023 kini melihat reformasi fiskal dan disiplin dasar sebagai faktor utama yang mengubah trajektori ekonomi negara.

 

Beliau menyifatkan kepimpinan dan pendekatan diplomasi Malaysia dalam suasana global yang tidak menentu sebagai antara faktor penstabil utama.

 

Kesimpulannya, Malaysia bakal muncul sebagai destinasi pelaburan utama Asia Tenggara pada 2026 bagi pasaran mata wang, ekuiti dan bon kerajaan. - DagangNews.com

 

 

Mengenai Dr. Sailesh Kumar Jha
Dr. Jha merupakan Pakar Strategi Pasaran Global dan Ahli Ekonomi, pernah berkhidmat sebagai Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Pasaran di RHB Banking Group serta Ketua Ahli Ekonomi Asia di Credit Suisse.
Beliau memiliki PhD dalam bidang Ekonomi dari University of Washington dengan pengkhususan dalam makroekonomi dan ekonometrik siri masa, dan kini berpangkalan di Singapura.
Antara 2022 hingga 2025, strategi pelaburan beliau dilaporkan mencatat pulangan melebihi empat kali ganda dana pasif dan tujuh kali ganda purata dana lindung nilai. Beliau turut membangunkan model ramalan proprietari termasuk model minyak Brent mingguan dan Indeks Dolar AS (DXY) bulanan yang digunakan secara konsisten sejak lebih sedekad lalu.