Pakar ekonomi syor Malaysia perkenal semula GST pada kadar tidak membebankan rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pakar ekonomi syor Malaysia perkenal semula GST pada kadar tidak membebankan rakyat

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Jun — Malaysia wajar memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana sistem itu terbukti mampu menyediakan sumber hasil yang mampan dan boleh diramal, menurut seorang pakar ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma.


Beliau yang juga Felo Institut Masa Depan Malaysia (Masa) berkata, GST merupakan bentuk cukai penggunaan berasaskan nilai tambah yang lebih luas serta diyakini menawarkan aliran hasil jangka panjang secara telus, cekap dan stabil kepada negara.


Justeru tambahnya, pihak kerajaan seharusnya mempertimbangkan dengan serius untuk melaksanakan kembali sistem percukaian berkenaan tetapi pada masa sama, beliau mencadangkan supaya kadarnya buat permulaan tidak akan membebankan rakyat.


“Ini akan memenuhi pembangunan negara kita yang semakin meningkat, keperluan perbelanjaan semasa, serta mengukuhkan daya tahan fiskal, sambil membantu dalam mengurangkan defisit fiskal dan menurunkan nisbah hutang kerajaan dengan ketara.” katanya.


Mengenai pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, Madeline berkata, ia dilihat sebagai kurang menjana hasil tetapi lebih terurus untuk operasi perniagaan dan pengguna.


Beliau berpendapat bahawa, sistem SST sekiranya direka untuk lebih disasarkan dan adil, ia boleh memberikan tumpuan cukup besar kepada pengguna yang sering berbelanja lebih untuk memperoleh barangan dan perkhidmatan tidak penting.


SST katanya, dijangka meningkatkan kedudukan fiskal Malaysia melalui pendekatan percukaian lebih disasarkan ke atas barangan bukan keperluan seperti barangan mewah dan tidak mustahak yang amat jarang dibeli golongan berpendapatan rendah.

 

madeline
Dr Madeline Berma


"Keputusan kerajaan memberi fokus kepada produk ini bermakna hanya berpendapatan tinggi terjejas secara langsung tetapi yang bergaji kecil atau sederhana akan terjejas secara tidak langsung kerana ada juga SST ke atas enam kategori baharu," katanya.


Madeline berkata, perkhidmatan yang diramalkan terjejas teruk disebabkan pelaksanaan peluasan SST itu melibatkan aktiviti pemajakan dan penyewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan serta kecantikan.


Beliau menegaskan SST memberi kesan kepada hampir semua barangan modal dan perkhidmatan perkilangan, yang dijangka meningkatkan kos pelaburan, melambatkan pengembangan perniagaan dan melembapkan pelaburan merentas sektor pembuatan dan komersial utama.


Persekutuan Pengilang Malaysia menganggarkan perniagaan logistik, pembuatan dan runcit yang bergantung kepada premis disewa boleh menyaksikan kos tahunan meningkat serta mungkin dibebankan kepada pengguna atau memaksa perniagaan mengurangkan operasi.


Bagaimanapun kata beliau, melalui pengembangan SST, hasil kerajaan Persekutuan dijangka bertambah daripada RM46.7 bilion pada 2024 kepada RM51.7 bilion pada 2025, mewujudkan ruang fiskal untuk subsidi atau insentif yang disasarkan.


Situasi ini tambah Madeline, boleh menyokong peningkatan dalam perkhidmatan awam, terutama memperluaskan bantuan tunai kepada rakyat miskin serta menambah baik infrastruktur awam yang daif dan penyampaian perkhidmatan di seluruh negara.


“Langkah ini sebahagian rangka kerja ekonomi Madani kerajaan yang lebih luas bertujuan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial serta menggalakkan cukai bersasar tanpa meningkatkan kos sara hidup orang awam,” tambahnya. - DagangNews.com