KUALA LUMPUR 7 Nov – Pahang berjaya mengekalkan rekod kutipan hasil melebihi RM1 bilion bagi tahun keempat berturut-turut sejak 2022, mencerminkan keutuhan tadbir urus dan pengurusan kewangan negeri itu.
Kerajaan negeri juga optimis dapat mencapai sasaran Belanjawan 2025 dengan kutipan hasil sebanyak RM1.194 bilion dalam tempoh berbaki sebelum penghujung tahun ini.
Pada tahun 2024, Pahang berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1.14 bilion melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1.137 bilion atau bersamaan 100.66 peratus.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan hasil negeri diurus secara berhemah serta dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat-Nya, Kerajaan Negeri Pahang terus berjaya mengekalkan rekod kutipan hasil melebihi RM1 bilion bagi tahun keempat berturut-turut sejak tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, kejayaan itu sejajar dengan prinsip Aspirasi Pahang 1st yang mendahulukan kepentingan rakyat serta mengutamakan kesejahteraan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri memerlukan sekitar RM600 juta setahun bagi menampung kos pengurusan, manakala baki hasil disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai program pembangunan, kebajikan dan inisiatif menyeluruh yang melibatkan segenap lapisan masyarakat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh kakitangan awam negeri dan Persekutuan, syarikat-syarikat S-GLC, sektor swasta serta rakyat Pahang yang sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri,” katanya.
Wan Rosdy berkata, kejayaan mengekalkan prestasi tersebut membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri dalam menjana hasil, mengurus sumber dan menyalurkan manfaat kepada rakyat secara mampan. - DagangNews.co








