KUALA LUMPUR 21 Nov – Oxford Innotech Berhad mencatat pendapatan RM50.5 juta bagi sembilan bulan pertama kewangan berakhir 30 September 2025, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) RM7.3 juta.
Menurut kumpulan tersebut, situasi itu bersamaan dengan margin 14.5%, selepas ia menyelaraskan semula perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Julai 2025.
Bagi 3QFY25, syarikat itu merekodkan pendapatan RM13.9 juta dan PAT RM1.2 juta, termasuk RM0.9 juta perbelanjaan penyenaraian; manakala PAT normalisasi ialah RM2.1 juta, menunjukkan margin 14.9%.
"Segmen 'mechanical assembly solutions' kekal sebagai penyumbang utama (59.1% pendapatan), diikuti 'precision engineering components' (38.3%) dan 'automation and robotics' pula (2.6%)," katanya.
Pasaran Malaysia jelas Oxford Innotech, masih menjadi penjana utama syarikat itu sebanyak 94.7% daripada jumlah pendapatan, dengan baki daripada Asia yang lain, Amerika Utara dan Eropah.
Pengarah Urusannya, Ng Thean Gin berkata, momentum positif dicatatkan melalui projek bersama JAKA Robotics dari China, termasuk dua projek baharu untuk pelanggan semikonduktor dan telekomunikasi.
Beliau menekankan kelulusan First Article Inspection Reports (FAIRs) yang kini memasuki pengeluaran secara besar-besaran, yang dijangka berupaya dalam menyokong prospek pendapatan suku akan datang.
"Syarikat turut memulakan fasa satu fasiliti baharu di Penang Science Park (PSP) yang akan dikenali Factory 2 serta bakal menambah keluasan sebanyak 3,660 meter persegi ruang pengeluaran," katanya.
Perkembangan itu menjadikan jumlah luas lantai pengeluaran kepada 11,629 meter persegi, selain syarikat masih kekal posisi tunai bersih dan aset bersih per saham 18 sen pada 30 September 2025.
Situasi itu juga jelas Thean Gin, membolehkan Oxford Innotech dapat terus menyokong pertumbuhan dan pengembangan kapasiti pengeluaran dalam usaha memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggannya.
Kumpulan berkenaan berjaya mengumpul modal sebanyak RM41.6 juta bagi membiayai pengembangan kapasiti dan peningkatan keupayaan operasi semasa penyenaraian. - DagangNews.com








