KUALA LUMPUR 25 Mac – OSK Holdings Bhd berkata kumpulan itu merancang untuk memulakan aktiviti perkhidmatan kewangan di Australia melalui anak syarikat milik penuhnya, OSK Asset Management (A) Pty Ltd berkuat kuasa Selasa (24 Mac 2926).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, OSK berkata anak syarikat tidak langsung milik penuhnya itu merupakan pemegang Lesen Perkhidmatan Kewangan Australia (AFSL) yang membolehkan syarikat menjalankan pelbagai aktiviti perkhidmatan kewangan di negara berkenaan.
“Perkhidmatan tersebut mungkin merangkumi nasihat am berkaitan produk kewangan, urus niaga dan penerbitan sekuriti serta kepentingan dalam skim pelaburan terurus miliknya sendiri, derivatif berkaitan lindung nilai dan urus niaga pertukaran asing, serta menyediakan perkhidmatan kustodian atau depositori kepada pelanggan borong sahaja,” menurutnya dalam makluman tersebut.
Lesen tersebut dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia, yang membolehkan syarikat menjalankan perniagaan perkhidmatan kewangan secara sah di negara itu.
Unit di Australia itu ditubuhkan pada Ogos 2024 di bawah anak syarikat milik penuh OSK Holdings, OSK Capital (S) Pte Ltd.
Aktiviti utamanya adalah dalam pengurusan dana, termasuk menawarkan pembiayaan modal kepada syarikat dan individu.
OSK Holdings terlibat dalam perniagaan hartanah, perkhidmatan kewangan, industri dan hospitaliti.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), segmen perkhidmatan kewangannya mencatatkan pendapatan sebanyak RM297.2 juta manakala keuntungan meningkat 25.58% kepada RM93.85 juta berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah pinjaman tertunggak meningkat kepada RM2.5 bilion daripada RM2.2 bilion.
Kumpulan itu menyatakan prestasi segmen tersebut yang lebih baik didorong oleh pengembangan portfolio pembiayaan modal dan pengguna di Malaysia serta Australia.
Secara keseluruhan, OSK Holdings merekodkan hasil sebanyak RM1.9 bilion dan keuntungan bersih RM575.96 juta, masing-masing meningkat 12% dan 7.36% berbanding RM1.7 bilion dan RM536.47 juta pada FY2024.
Saham OSK Holdings ditutup susut dua sen atau 1.23% kepada RM1.60 pada Selasa, menjadikan permodalan pasaran kumpulan itu sebanyak RM5.03 bilion.- DagangNews.com








