KUALA LUMPUR 2 Dis – OSK Holdings dijangka terus memacu pertumbuhan positif berikutan prestasi kewangan kukuh dan prospek pasaran yang memberangsangkan, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata, OSK dijangka memperoleh manfaat daripada pensijilan kabel voltan tinggi (HV cable) menjelang separuh pertama FY26, yang akan membolehkan syarikat mengakses tender dengan margin lebih tinggi dan menyokong pertumbuhan segmen industri.
“Prestasi kukuh dalam kredit swasta dan prospek pensijilan kabel HV dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan OSK dalam tempoh akan datang, walaupun jualan hartanah mencatatkan sedikit kelemahan.
“Dengan asas kewangan yang mantap dan jualan belum ditagih yang tinggi, OSK berada dalam kedudukan kukuh untuk meneruskan momentum positif bagi tahun kewangan akan datang,” kata HLIB dalam nota kajiannya.
Saham OSK kini berada dalam trend menaik jangka panjang, dengan peluang untuk meningkat sekiranya harga berjaya menembusi purata bergerak 20 hari (MA20) pada RM1.41.
“Paras rintangan seterusnya dijangka pada RM1.45, RM1.49, dan RM1.54, manakala paras sokongan terletak pada RM1.34, RM1.31, dan RM1.26. Saranan stop-loss ditetapkan pada RM1.29 bagi mengehadkan risiko kerugian,” kata HLIB.
Pada suku ketiga FY25, OSK mencatatkan keuntungan bersih teras (core PATAMI) RM158.6 juta, meningkat 15.8 peratus berbanding tahun lepas dan 12.8 peratus berbanding suku sebelumnya.
Bagi sembilan bulan pertama FY25, core PATAMI pula berjumlah RM424.6 juta, naik 9.2 peratus YoY.
Pertumbuhan OSK disokong oleh sumbangan kukuh daripada rakan kongsi RHB serta segmen kredit swasta yang mencatatkan prestasi memberangsangkan.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) untuk segmen kredit swasta mencapai RM32.1 juta pada 3QFY25 (+27.2 peratus YoY), manakala 9M PBT pula RM92.8 juta (+20.7 peratus YoY).
HLIB berkata, segmen hartanah pula mencatatkan jualan 3Q lemah pada RM235 juta (-27.2 peratus YoY), tetapi jualan yang belum dibilkan kekal sihat pada RM1.25 bilion, bersamaan kira-kira 1.84 kali pendapatan FY24.
Saham OSK dijangka menjadi pilihan pelabur yang mencari kombinasi pertumbuhan berterusan dan kestabilan pendapatan dalam sektor perkhidmatan kewangan dan hartanah.- DagangNews.com








