KUALA LUMPUR 28 Ogos - OSK Holdings Bhd mencatatkan keputusan kewangan lebih baik bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, didorong oleh sumbangan keuntungan daripada hampir semua segmen perniagaannya sepanjang tempoh tersebut.
Bagi suku berakhir 30 Jun 2025, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM142 juta berbanding RM128.7 juta pada suku sama tahun lalu. Pendapatan sesaham turut naik kepada 4.59 sen berbanding 4.16 sen sebelum ini.
Kumpulan itu melaporkan hasil sebanyak RM510.61 juta pada S2 2025 berbanding RM368.42 juta pada S2 2024.
Bagi tempoh enam bulan pertama, OSK merekodkan keuntungan bersih RM266.29 juta berbanding RM251.63 juta pada separuh pertama 2024, manakala hasil melonjak kepada RM911.19 juta daripada RM736.37 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
“Prestasi kami dalam 6M25 mencerminkan ketahanan serta keupayaan menyesuaikan diri di peringkat Kumpulan. Setiap perniagaan teras memainkan peranan dalam menyumbang kepada pencapaian ini.
“Dengan mengimbangi pertumbuhan serta pelaksanaan yang berdisiplin, kami membina asas yang bukan sahaja menyokong prestasi kewangan mampan tetapi juga mencipta nilai jangka panjang untuk pelanggan, pemegang saham dan komuniti,” kata Pengerusi Eksekutif kumpulan, Tan Sri Ong Leong Huat dalam satu kenyataan.
Lembaga pengarah turut meluluskan dividen interim sebanyak 2.5 sen sesaham berdasarkan jumlah saham diperbesarkan selepas terbitan bonus satu saham bonus bagi setiap dua saham yang dipegang.
Tarikh ex-dividen ditetapkan pada 18 Sept 2025 dan pembayaran akan dibuat pada 16 Okt 2025. - DagangNews.com








