KUALA LUMPUR 19 Feb - Oriental Kopi Holdings Bhd menegaskan pengurusan sumber manusia yang kukuh serta kualiti produk yang konsisten kekal menjadi kunci untuk mengekalkan pertumbuhan dalam industri makanan dan minuman (F&B) Malaysia yang kompetitif, susulan perkembangan pesat syarikat daripada sebuah kopitiam tunggal kepada syarikat tersenarai awam.
Bercakap sebagai tetamu dalam program “The Nation” terbitan Bernama TV pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Calvin Chan berkata, penyenaraian dan peluasan operasi syarikat telah meningkatkan tanggungjawabnya dengan ketara, khususnya terhadap pekerja dan pelanggan.
“Dahulu kami bermula dengan hanya lima kakitangan, tetapi kini kami mempunyai lebih 2,000 pekerja. Menguruskan tenaga kerja telah menjadi cabaran dan tanggungjawab terbesar,” katanya sambil menambah bahawa mengekalkan kualiti perkhidmatan di semua cawangan memerlukan penglibatan berterusan bersama kakitangan.
Chan menjelaskan bahawa tidak seperti kos bahan mentah yang boleh dirunding atau diuruskan, memastikan konsistensi dalam penyediaan makanan, standard perkhidmatan dan latihan kakitangan memerlukan masa serta pemantauan rapi.
Beliau kerap mengunjungi cawangan untuk berkomunikasi secara langsung dengan pekerja dan memahami cabaran operasi, terutama ketika musim perayaan apabila berlaku kekurangan tenaga kerja susulan cuti kakitangan.
Kebanyakan cawangan kekal beroperasi semasa sambutan Tahun Baharu Cina, dengan pihak pengurusan turut turun padang membantu operasi apabila diperlukan, katanya.
Mengenai strategi perniagaan, Chan berkata kumpulan itu mengutamakan kawalan kualiti berbanding peluasan pesat menerusi francais, berdasarkan pengalaman terdahulu beliau yang mendapati sukar untuk mengekalkan standard konsisten di bawah pengaturan francais.
Selain operasi restoran, Chan berkata produk berbungkus seperti kaya, kopi putih dan sambal kini berkembang menjadi segmen penting bagi jenama itu, pada awalnya didorong permintaan pelanggan yang ingin menikmati produknya di luar premis atau di luar negara.
Beliau menambah bahawa produk tersebut kini turut menjadi cenderamata popular dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke Malaysia.
Chan turut menggalakkan usahawan baharu agar memulakan perniagaan dengan perancangan rapi, termasuk membuat persediaan sekurang-kurangnya enam bulan, mengenal pasti rakan kongsi sesuai dan menjalankan kajian pasaran.
Melangkah ke hadapan, beliau berharap syarikat itu berupaya mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa bagi membawa cita rasa kopitiam Malaysia ke pasaran luar negara, walaupun belum ada perancangan pengembangan luar negara yang dimuktamadkan setakat ini. - BERNAMA








