KUALA LUMPUR 26 Nov – Oriental Kopi Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih melonjak 40.9% kepada RM60.75 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (FY2025), berbanding RM43.13 juta setahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata ia menanggung perbelanjaan penyenaraian berjumlah RM1.38 juta. Tanpa mengambil kira kos ini, keuntungan bersih FY2025 sepatutnya berjumlah RM62.13 juta, menggambarkan kekuatan operasi terasnya.
Pendapatan kumpulan meningkat ketara sebanyak 62.6% kepada RM450.92 juta, berbanding RM277.28 juta pada FY2024.
Segmen operasi rangkaian kafe kekal sebagai pemacu utama dengan sumbangan 92.81%, manakala aktiviti pengedaran dan runcit makanan bungkus menyumbang 6.48%.
Bagi suku keempat FY2025 (4QFY2025), keuntungan bersih turun 11.5% kepada RM15.89 juta, berbanding RM17.95 juta pada 3QFY2025.
Namun, pendapatan suku tersebut meningkat kepada RM133.16 juta daripada RM116.75 juta sebelumnya, mencerminkan permintaan pengguna yang berdaya tahan.
Margin keuntungan kasar FY2025 sedikit susut kepada 27.74% (FY2024: 29.86%), manakala margin keuntungan bersih turun kepada 13.47% berbanding 15.55% tahun lalu.
Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen satu sen sesaham, yang akan dibayar pada 9 Januari 2026.
Oriental Kopi berkata, permintaan domestik yang berterusan dan peningkatan pelancongan dijangka terus merangsang perniagaan perkhidmatan makanan.
Setakat Oktober 2025, kumpulan itu mengendalikan 28 cawangan iaitu 25 di Malaysia dan tiga di Singapura, dengan rancangan membuka lapan lagi dalam tempoh setahun akan datang.
Kumpulan itu turut meneroka inovasi menu, meluaskan rangkaian produk makanan bungkus dan sedang bekerjasama dengan pengedar luar negara untuk memasarkan produknya ke pasaran antarabangsa. Langkah ini seiring strategi menjadikan Oriental Kopi sebagai jenama serantau yang lebih kukuh sambil terus mengukuhkan rangkaian pengedaran tempatan.
Dengan inisiatif pertumbuhan yang berterusan, Oriental Kopi kekal optimis terhadap prospek untuk tahun kewangan akan datang dan yakin dapat mengekalkan pertumbuhan hasil serta keuntungan.
Saham Oriental Kopi naik satu sen atau 0.8% kepada RM1.31, meletakkan nilai pasaran kumpulan itu pada RM2.62 bilion.
Saham tersebut kini hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga penyenaraiannya iaitu 44 sen pada 23 Januari tahun ini. - DagangNews.com








