Orang ramai diminta waspada penipuan skim pelaburan guna nama Khazanah Nasional | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orang ramai diminta waspada penipuan skim pelaburan guna nama Khazanah Nasional

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 April – Khazanah Nasional Berhad memberi amaran kepada orang ramai berhubung kegiatan penipuan yang menyalahgunakan nama, logo dan identiti syarikat itu bagi tujuan memperdaya mangsa menyertai skim pelaburan palsu.

 

Menurut Khazanah, kegiatan tersebut dikesan berlaku melalui platform media sosial serta aplikasi pesanan segera seperti Telegram, apabila pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai pegawai dan menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan pelaburan.

 

Dalam sesetengah kes, penipu turut menggunakan imej serta identiti kepimpinan Khazanah bagi meyakinkan orang ramai untuk menyertai pelaburan yang sebenarnya tidak wujud.

 

t
Datuk Suhana Dewi Selamat

 

Ketua Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan Khazanah Nasional, Datuk Suhana Dewi Selamat berkata Khazanah tidak pernah menawarkan sebarang skim pelaburan kepada orang awam dan tidak menyediakan platform pelaburan kepada individu.

 

“Sebagai pelabur institusi, peranan kami adalah melaksanakan pelaburan jangka panjang untuk negara berteraskan hala tuju Memajukan Malaysia, dengan fokus kepada pelaburan berdisiplin dan pengurusan bertanggungjawab.

 

“Mana-mana pihak yang mendakwa mewakili Khazanah dan menawarkan pulangan pelaburan adalah suatu penipuan. 

 

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya dan bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa terhadap mereka yang menyalahgunakan nama serta identiti Khazanah”, katanya dalam satu kenyataan.

 

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membalas sebarang mesej yang mencurigakan, tidak berkongsi maklumat peribadi, dan tidak melakukan sebarang aktiviti pembayaran kepada mana-mana individu atau entiti yang mendakwa mewakili Khazanah.

 

Orang ramai yang menerima kandungan mencurigakan digalakkan membuat semakan melalui emel rasmi [[email protected]](mailto:[email protected]) atau merujuk laman sesawang [www.khazanah.com.my](http://www.khazanah.com.my) serta saluran media sosial rasmi Khazanah Nasional Berhad. - DagangNews.com