KUALA LUMPUR 28 April – OpenMove AI Berhad dan Thai Paiboon Insurance Public Company Limited (TPB) memeterai perjanjian langganan perkhidmatan pampasan strategik sebagai langkah penting dalam memperluaskan operasi syarikat teknologi Malaysia itu ke pasaran Thailand.
Dalam masa yang sama, OpenMove AI turut menjalinkan kerjasama dengan Dataone Asia (Thailand) Co Ltd bagi memperkukuh operasi dan pelaksanaan di negara tersebut.
Perjanjian ini dimeterai melalui anak syarikat milik penuh OpenMove AI iaitu Rexit International Sdn Bhd yang melibatkan pelaksanaan penyelesaian Rexit Compensation Suite, iaitu sistem pengurusan pampasan menyeluruh bagi rangkaian pengedaran yang kompleks dalam sektor insurans.
Langkah ini juga merupakan kemasukan pertama OpenMove AI ke pasaran Thailand untuk memperkukuh kedudukan kumpulan tersebut dalam ekosistem insurans berasaskan pendigitalan yang semakin berkembang di Asia Tenggara.
Thai Paiboon Insurance merupakan syarikat insurans am yang telah beroperasi lebih 97 tahun di Thailand, dengan reputasi kukuh berasaskan kestabilan kewangan, integriti serta komitmen terhadap kecemerlangan perkhidmatan kepada pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OpenMove AI Gallen Lee Choon Teng pula berkata pihaknya menghargai kepercayaan TPB terhadap kepakaran dan perkhidmatan rumusan teknologi yang ditawarkan, serta yakin kerjasama ini akan membuka ruang pertumbuhan lebih luas di Thailand dan rantau Asia Tenggara.
“Pasaran insurans am Thailand dijangka mencecah sekitar 300 bilion baht (kira-kira RM39 bilion) pada tahun 2026, dengan jumlah keseluruhan pasaran insurans melebihi 1 trilion baht (kira-kira RM130 bilion).
“Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh segmen insurans kenderaan yang dijangka mencapai 5.32 bilion dolar Amerika Syarikat (kira-kira RM25 bilion), selain peningkatan permintaan terhadap perlindungan kesihatan yang mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun sekitar 5.7 peratus,” katanya.
Pengarah Urusan TPB, Eugene Foong Jun Seong berkata kerjasama ini akan memperkukuh keupayaan operasi syarikat serta meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan secara keseluruhan.
Menurut beliau, penyelesaian yang dibangunkan OpenMove AI mampu memberikan kebolehskalaan dan ketepatan dalam pengiraan pampasan, selain meningkatkan ketelusan dalam rangkaian pengedaran syarikat insurans tersebut.
OpenMove AI dalam masa sama mengumumkan kerjasama dengan Dataone Asia (Thailand) Co., Ltd. yang akan bertindak sebagai rakan pengedaran dan sokongan tempatan bagi memastikan pelaksanaan sistem berjalan lancar di Thailand.
Dataone Asia akan menyediakan sokongan di lapangan kepada TPB bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, kesinambungan operasi serta tindak balas segera terhadap keperluan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Dataone Asia, Sochipun Vajropala berkata pihaknya berbesar hati menjadi rakan kerjasama OpenMove AI dalam membawa penyelesaian tersebut ke pasaran Thailand serta memastikan sokongan tempatan yang berkesan kepada pelanggan.
OpenMove AI Berhad merupakan syarikat penyedia perkhidmatan berasaskan langganan yang berpangkalan di Malaysia dan memberi tumpuan kepada sektor insurans, kewangan serta perusahaan, dengan fokus kepada kecerdasan buatan, pengkomputeran awan, data dan automasi bagi membantu organisasi memodenkan operasi.
Sementara itu, Thai Paiboon Insurance dan Dataone Asia masing-masing memainkan peranan penting dalam memperkukuh pelaksanaan penyelesaian tersebut, sekali gus menyokong pertumbuhan jangka panjang industri insurans di Thailand melalui kerjasama strategik ini. - DagangNews.com








