KUALA LUMPUR 14 April – Operasi Naga (Op Naga) iaitu operasi bersepadu Maritim Malaysia (APMM) dan agensi penguat kuasa lain dalam menangkis ancaman pencerobohan khususnya di Laut China Selatan berjaya mengelak ketirisan ekonomi marin.
Sejak dilaksanakan pada Mei 2019 hingga Disember lalu, Op Naga telah mencatatkan keseluruhan 619 kes pencerobohan nelayan asing.
Manakala nilai keseluruhan aset yang dilucut hak, denda dan lelong adalah RM141.7 juta.
Nilai keseluruhan tangkapan ini merupakan pulangan kepada kerajaan Malaysia.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Op Naga memasuki fasa baharu dengan penyelarasan taktikal yang lebih agresif dan bersepadu.

Tegasnya, ini bagi membanteras pencerobohan kapal nelayan asing ke dalam zon maritim Malaysia.
“Op Naga dapat membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang tidak dilapor dan tidak dikawal selia.
“Ia bukan sahaja merugikan industri perikanan tempatan negara tetapi juga menjejaskan ekosistem maritim negara selain mencabuli sempadan.
“Justeru, kerjasama semua pihak sama ada pasukan keselamatan mahu pun agensi sokongan amat perlu dalam usaha mempertingkatkan pengawasan dan tindakan membanteras aktiviti jenayah ini di perairan negara.
“Kita bukan hanya menangkap penceroboh, kita juga ingin menghantar mesej jelas bahawa perairan Malaysia bukan untuk diceroboh sesuka hati,” ujarnya dalam satu kenyataan.



Selain APMM, Op Naga melibatkan TLDM, TUDM, PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Penglibatan agensi lain seperti Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Turut terlibat Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Perikanan Sabah, Taman-taman Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, Mohd Zawawi yang mempengerusikan Mesyuarat Op Naga 1/2025 memberitahu, ia bagi membincangkan tentang pemerkasaan aset strategik dan pelaksanaan operasi bersepadu lebih efisien.
Mesyuarat yang dihadiri wakil-wakil pelbagai agensi itu turut menyentuh pengukuhan risikan serta pendekatan jangka panjang yang mampu melonjakkan keberkesanan penguatkuasaan maritim negara. - DagangNews.com








