OMS sediakan kapal tanpa kru sokong kerja pemasangan kabel dasar laut di seluruh dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OMS sediakan kapal tanpa kru sokong kerja pemasangan kabel dasar laut di seluruh dunia

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 April – Permintaan global terhadap infrastruktur digital bawah laut yang semakin pesat mendorong OMS Group memperkukuh keupayaan teknologi dengan menyediakan kapal tanpa kru.


Menurut kenyataan kumpulan penyedia perkhidmatan prasarana digital bersepadu itu, kapal yang kedua tersebut bagi menyokong pelbagai tender kerja pemasangan kabel dasar laut di seluruh dunia.


Sehubungan itu, syarikat berkenaan menjalinkan kerjasama dengan Exail bagi perolehan sebuah lagi 'Uncrewed Surface Vessel' (USV) model DriX O-16, namun ia tidak mendedahkan harga kapal tersebut.


"Langkah ini memacu penggunaan teknologi autonomi dalam operasi tinjauan dasar laut, termasuk pemetaan, pengesahan laluan dan pemantauan pemasangan kabel telekomunikasi kritikal," kata OMS.


Jelasnya, kapal pertama yang diperoleh tahun lalu, dikenali sebagai USV Elite, dijadual dilancarkan pada pertengahan 2026, dan bersama-sama unit kedua akan menyokong aktiviti pemasangan kabel global.


Tambah kumpulan berkenaan, DriX O-16 pula direka bentuk untuk misi tempoh jangka panjang dengan ketahanan operasi sehingga 30 hari dan keseluruhan jarak pelayaran sekitar 3,500 batu nautika.


Platform itu turut dilengkapi teknologi penderiaan canggih seperti sistem sonar Kongsberg EM124 bagi menghasilkan pemetaan dasar laut beresolusi tinggi untuk projek infrastruktur berskala besar.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan OMS, Ronnie Lim berkata, peningkatan keupayaan kapal kedua ini penting dalam memenuhi keperluan tinggi data dasar laut yang semakin kompleks.


“Penggunaan DriX O-16 meningkatkan keupayaan kami menyediakan data berkualiti tinggi dengan tahap keselamatan lebih baik, pelepasan karbon rendah dan ketahanan operasi yang lama,” katanya.


OMS turut merancang integrasi kapal ini dalam ekosistem tinjauan lebih luas termasuk penggunaan Autonomous Underwater Vehicles (AUV) serta penubuhan Pusat Operasi Jarak Jauh di Singapura.


Pendekatan ini jelas beliau menerusi kenyataan itu, dijangka membolehkan pemantauan secara masa nyata, pengesahan data serta koordinasi pelbagai aset autonomi dalam tempoh yang serentak.


Kumpulan itu melalui bahagian OMS Telco dan LitUp Network, menyediakan perkhidmatan menyeluruh pemasangan kabel, penyelenggaraan, sambungan rangkaian serta infrastruktur pusat data (DC).


Sementara itu, Exail berkata penggunaan kapal tanpa kru seperti DriX O-16 mampu mengurangkan jejak karbon operasi tinjauan sehingga 99%, selain mengurangkan risiko kepada tenaga kerja di laut.


"Perkembangan ini selari dengan pertumbuhan pesat pasaran kabel dasar laut global yang didorong keperluan sambungan digital dan DC," ujar syarikat industri berteknologi tinggi itu. - DagangNews.com