KUALA LUMPUR 10 Mac – OGX Group Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (2QFY26) menjelang penyenaraian sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 12 Mac depan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, OGX berkata ia merekodkan jumlah hasil sebanyak RM74 juta manakala keuntungan selepas cukai pula adalah RM6 juta pada suku tersebut.
“Segmen perkhidmatan infrastruktur IT terus menjadi pemacu utama pendapatan, menyumbang 75.5 peratus daripada jumlah hasil suku kedua.
“Selain itu, segmen pengedaran produk infrastruktur IT pula menyumbang 15.8 peratus daripada jumlah hasil, manakala baki hasil diperoleh daripada waranti produk dan perkhidmatan sokongan,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), OGX mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM19.1 juta dan keuntungan selepas cukai RM13.1 juta dengan jumlah hasil keseluruhan RM147.6 juta.
Pendapatan daripada penyediaan rumusan IT mencatatkan 76.5 peratus, pengedaran produk IT 15.7 peratus dan waranti serta sokongan produk 7.8 peratus bagi tempoh enam bulan tersebut.
Keuntungan sebelum cukai OGX bagi 1HFY26 telah mencapai 86.7 peratus daripada jumlah keuntungan penuh bagi tahun kewangan 2025, menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan OGX, Tan Suan Loong berkata prestasi suku kedua itu mencerminkan permintaan berterusan terhadap infrastruktur IT dan dedikasi pasukan syarikat dalam memberikan nilai perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Penyenaraian di Pasaran ACE merupakan pencapaian penting yang akan mengukuhkan kedudukan pasaran OGX serta menyokong fasa pertumbuhan Kumpulan pada masa akan datang,” katanya.
OGX dijadualkan disenaraikan pada 12 Mac 2026 dengan nilai pasaran sebanyak RM262.5 juta berdasarkan modal saham yang diperbesarkan kepada 750 juta saham dan harga tawaran awam permulaan RM0.35 sesaham.
Syarikat yang ditubuhkan pada 2007 ini telah berkembang daripada pengedar produk IT kepada penyedia rumusan infrastruktur IT menyeluruh, menawarkan perkhidmatan reka bentuk, pelaksanaan dan sokongan untuk rangkaian, keselamatan siber dan pusat data, serta menjadi pengedar rasmi kepada jenama terkenal termasuk HPE-Aruba, Vertiv, Tenable dan Forcepoint. - DagangNews.com








