OCK, Fujikura meterai perjanjian pengedaran gentian optik berprestasi tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OCK, Fujikura meterai perjanjian pengedaran gentian optik berprestasi tinggi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 JanOCK Group Berhad, penyedia penyelesaian rangkaian telekomunikasi dan pengendali menara serantau, menerusi anak syarikatnya, OCK Datawave Sdn Bhd, memeterai perjanjian pengedaran dengan pengeluar gentian optik terkemuka Jepun, Fujikura Ltd.

 

Di bawah perjanjian yang berkuat kuasa dari Januari hingga Disember 2026 itu, OCK akan mengedarkan rangkaian penyelesaian Wrapping Tube Cable™ (WTC™) Fujikura bersama pelbagai aksesori berkaitan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia syarikat itu berkata, kerjasama ini sekali gus memperluas penawaran produk dan mengukuhkan keupayaan rantaian bekalan Kumpulan.

 

Fujikura, yang mempunyai lebih satu abad pengalaman dalam inovasi teknologi gentian optik, terkenal dengan penyediaan kabel berprestasi tinggi dan sistem bersepadu yang menyokong penghantaran data berkelajuan tinggi untuk pengendali telekomunikasi, pusat data dan projek bandar pintar di seluruh dunia.

 

Menurut OCK, kerjasama ini sejajar dengan komitmen Kumpulan untuk menyokong peluasan gentian dan penaiktarafan rangkaian yang semakin pesat di Malaysia, didorong oleh pertumbuhan Bandar Pintar, pusat data, penggunaan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan perusahaan dan pelaksanaan 5G.

 

Pengarah Urusan OCK Group, Datuk Wira Sam Ooi Chin Khoon, berkata perkongsian tersebut akan memperkukuh keupayaan OCK dalam menyediakan penyelesaian gentian yang boleh dipercayai dan bersedia untuk masa hadapan.

 

“Bekerjasama dengan Fujikura, sebuah jenama global yang sinonim dengan inovasi dan kualiti, membolehkan kami meningkatkan keupayaan untuk menyokong pengembangan serta penaiktarafan infrastruktur rangkaian.

 

"Kami yakin rangkaian produk termaju Fujikura akan membantu kami memenuhi keperluan pengendali telekomunikasi, pusat data dan pelanggan perusahaan di seluruh negara,” katanya.

 

Beliau menambah, langkah ini turut mengukuhkan proposisi nilai OCK sebagai penyedia penyelesaian digital dan telekomunikasi hujung ke hujung, selari dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat terhadap infrastruktur gentian berprestasi tinggi. - DagangNews.com