Ocean Fresh Berhad dikenakan cukai LHDN berjumlah RM4.18 juta bagi tahun 2021-2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ocean Fresh Berhad dikenakan cukai LHDN berjumlah RM4.18 juta bagi tahun 2021-2024

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 15 April - Syarikat makanan laut sejuk beku, Ocean Fresh Bhd, memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Ocean Fresh Seafood Products Sdn Bhd dikenakan bil cukai pendapatan berjumlah RM4.18 juta bagi tahun taksiran 2021 hingga 2024 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata notis taksiran tambahan daripada LHDN tersebut telah diserahkan pada 13 April lalu.

 

Jumlah berkenaan merangkumi RM742,546.91 bagi tahun taksiran 2021, RM567,128.11 (2022), RM2.07 juta (2023) dan RM793,421.34 (2024).

 

Kumpulan itu berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan nasihat guaman serta menilai pilihan undang-undang yang ada, termasuk mengemukakan rayuan rasmi kepada LHDN.

 

Ia menambah, sebarang pengumuman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan material.

 

Disenaraikan di Pasaran ACE

Ocean Fresh terlibat terutamanya dalam pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut sejuk beku, selain menyediakan perkhidmatan pemprosesan makanan laut sejuk beku kepada pelanggan di Malaysia, Türkiye, China, Thailand, Vietnam dan Jepun.

 

Syarikat itu disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 4 Julai 2024.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, syarikat merekodkan keuntungan bersih RM938,000, merosot lebih 51% berbanding RM1.92 juta setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan keuntungan kasar yang lebih rendah serta peningkatan perbelanjaan lain.

 

Bagaimanapun, keadaan itu sebahagiannya diimbangi oleh pengurangan perbelanjaan jualan dan pengedaran sebanyak RM2.85 juta serta pembalikan bersih kerugian rosot nilai sebanyak RM1.21 juta.

 

Hasil bagi tahun kewangan 2025 turut susut 4% kepada RM157.1 juta berbanding RM163.7 juta sebelumnya.

 

Saham Ocean Fresh ketika pasaran dibuka pagi ini diniagakan pada 16 sen, meletakkan nilai pasaran syarikat itu pada RM31.55 juta. - DagangNews.com