OB Holdings menafikan tuduhan langgar hakcipta firma Australia, Nature One Dairy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OB Holdings menafikan tuduhan langgar hakcipta firma Australia, Nature One Dairy

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mac — OB Holdings Berhad bersedia untuk berdepan dengan tuntutan undang-undang berkaitan pertikaian harta intelek (IP) dikemukakan Nature One Dairy (Hong Kong) Limited ke ke atas anak syarikatnya, Orient Biotech Sdn Bhd.
 

Penyedia pembuatan makanan dan minuman (F&B) serta diet tambahan yang diperkayakan terkemuka di Malaysia itu malah mengesahkan sudah pun menerima writ saman dan penyata tuntutan untuk ganti rugi tidak dinyatakan pada 4 Mac 2025.
 

OB Holdings berkata, pihaknya turut meneliti isu pampasan saksama dan faedah di bawah Seksyen 101 Akta Mahkamah Agung 1986, serta sebarang relif lain yang difikirkan sesuai difailkan di Mahkamah Agung Victoria di Melbourne, Australia.
 

"Syarikat sedang mengambil semua langkah undang-undang yang diperlukan untuk menangani perkara ini dan telah mengambil wakil undang-undang di Melbourne untuk memfailkan pembelaannya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 

Saman itu timbul selepas Nature One Dairy mengeluarkan notis pertikaian kepada Orient Biotech pada Oktober 2024 berhubung dakwaan pelanggaran IP dalam terma perjanjian pembelian dan pembekalan antara kedua-dua pihak.
 

Ia berpunca daripada pengeluaran produk serbuk susu Orient Biotech untuk pelanggan baharu yang menurut Nature One Dairy menggunakan formula, resipi dan bahan serupa dengan produk mereka serta menuntut pengeluaran dihentikan.
 

Artikel berkaitan: OB Holdings berdepan saman pelanggaran harta intelek di Australia

 

Mengulas lanjut, OB Holdings bagaimanapun dengan tegas menafikan tuduhan itu dan menyatakan bahawa ia tiada asas, kerana produk yang dipersoalkan berbeza daripada tawaran Nature One Dairy dan tidak melanggar mana-mana pemilikan IP.
 

"Orient Biotech menerima surat daripada peguam Nature One Dairy disertakan dengan Writ Saman yang dimeterai dan Penyata Tuntutan yang tidak lengkap, dengan kedua-duanya itu bertarikh 28 Februari 2025," tambah kenyataan tersebut.
 

Memandangkan ketiadaan jumlah ganti rugi yang dinyatakan secara spesifik oleh pihak Nature One Dairy dalam tuntutan saman berkenaan, justeru ia tidak memberi kesan kewangan atau operasi serta-merta ke atas OB Holdings.
 

Syarikat tersebut bahkan kekal yakin dengan kedudukannya dan komited untuk melindungi kepentingan perniagaannya yang menerima pelbagai perakuan industri termasuk pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
 

OB Holdings ditubuhkan sejak 1995 dan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Oktober 2024. - DagangNews.com