KUALA LUMPUR 6 Mac - Pengeluar makanan diperkaya dan suplemen diet, OB Holdings Bhd memaklumkan, pertikaian pelanggaran harta intelek (IP) kumpulan dengan sebuah syarikat yang juga pelanggannya, telah dibawa ke mahkamah di Victoria, Australia.
Syarikat berkata, pelanggan tersebut, Nature One Dairy (Hong Kong) Ltd, menyaman anak syarikat milik penuhnya, Orient Biotech Sdn Bhd, menuntut ganti rugi dan pengiraan keuntungan atau pampasan ekuiti.
Saman itu timbul selepas Nature One Dairy mengeluarkan notis pertikaian kepada Orient Biotech pada Oktober 2024 berhubung dakwaan pelanggaran dalam perjanjian pembelian dan bekalan antara kedua-dua pihak.
Dakwaan pelanggaran tersebut berkaitan Orient Biotech yang didakwa melanggar hak harta intelek Nature One Dairy.
Tuduhan itu berpunca daripada pengeluaran produk serbuk susu oleh Orient Biotech untuk pelanggan baharu, yang menurut Nature One Dairy menggunakan formula, resipi dan bahan-bahan yang serupa dengan produk mereka.
Melalui notis pertikaian tersebut, Nature One Dairy meminta Orient Biotech untuk menghentikan pengeluaran produk berkenaan dan memberikan maklumat mengenai urusan dengan pelanggan baharu tersebut.
Orient Biotech menafikan dakwaan itu dengan mendakwa bahan-bahannya adalah generik dan mudah didapati di pasaran.
OB Holdings disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Oktober 2024. - DagangNews.com








