Noor Arfa tonjolkan kreativiti Gen Z melalui pertandingan rekaan batik moden kontemporari peringkat IPT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Noor Arfa tonjolkan kreativiti Gen Z melalui pertandingan rekaan batik moden kontemporari peringkat IPT

Antara barisan model yang memperagakan rekaan fesyen terkini sempena penganjuran Piala Batik Noor Arfa 2026 - Gambar Noor Arfa
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 20 April – Piala Batik Noor Arfa 2026 kembali dianjurkan sebagai platform terbaik mempromosikan seni batik negara melalui pendekatan fesyen generasi muda atau Gen Z yang mengangkat warisan tekstil tempatan ke pentas lebih kontemporari.

 

Program kolaborasi itu melibatkan lebih 20 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan latihan kemahiran termasuk Kolej Vokasional, GiatMARA, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) serta politeknik dari seluruh negara.

 

Pengarah Urusan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata pertandingan itu bertujuan mencungkil bakat pelajar dalam menghasilkan dan mempersembahkan rekaan fesyen batik yang kreatif, moden serta relevan dengan cita rasa generasi muda masa kini.

 

“Sebanyak 30 penyertaan telah diterima daripada pelajar seni reka fesyen yang mewakili institusi masing-masing, dengan setiap rekaan dihasilkan secara kreatif di kampus dengan bimbingan pensyarah.

 

“Pertandingan tersebut menampilkan peragaan fesyen Gen Z yang menggabungkan elemen batik tradisional dengan sentuhan moden, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian interpretasi terhadap warisan tekstil negara.

 

“Kesemua 30 rekaan telah dipertontonkan kepada kira-kira 150 penonton yang terdiri daripada wakil institusi pendidikan, pensyarah, pelajar serta penggiat industri kreatif dalam majlis yang berlangsung baru-baru ini,” katanya kepada DagangNews.com.

 

t

 

 

t

 

Pertandingan Piala Batik Noor Arfa 2026 dimenangi Kolej Vokasional Sungai Petani 2 manakala tempat kedua dimenangi Kolej Komuniti Gerik dan tempat ketiga oleh Kolej Vokasional Kangar.

 

Selain itu, lapan hadiah saguhati turut diberikan kepada penyertaan lain yang memperoleh markah tinggi, dengan kesemua pemenang menerima wang tunai, sijil penghargaan dan cenderahati.

 

Barisan juri jemputan terdiri daripada pakar dan penggiat industri fesyen serta tekstil, termasuk Profesor Madya Dr Hanisa Hassan dari Universiti Malaysia Kelantan, Puan Amylia Lukman selaku pengasas butik, serta Puan Noor Hijerah Hanafiah daripada Noor Arfa Holdings Sdn Bhd.

 

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Operasi Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Ismanisa Itam @ Ismail berkata syarikat itu sangat komited untuk terus memartabatkan batik dalam kalangan generasi muda.

 

Menurut beliau, penganjuran pertandingan ini bukan sekadar acara fesyen, sebaliknya merupakan inisiatif strategik bagi memastikan batik kekal relevan dan terus berkembang dalam arus fesyen moden.

 

Katanya, penglibatan pelajar IPT dalam pertandingan ini memberi ruang kepada mereka untuk menonjolkan kreativiti serta menjadikan batik sebagai medium ekspresi seni yang lebih luas.

 

Program yang berlangsung di NACC Batik Pavilion itu turut menarik lebih 500 pengunjung terdiri daripada pelajar, pensyarah, penjawat awam, penggiat industri serta pencinta fesyen tanah air.

 

Selain pertandingan utama, pengunjung turut disajikan dengan pameran batik, sesi interaksi bersama peserta, perkongsian industri serta pelbagai aktiviti sampingan yang memperkaya pengalaman pengunjung.

 

Piala Batik Noor Arfa akan terus dijadikan acara tahunan, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai antara peneraju dalam pembangunan fesyen batik moden di peringkat serantau dan antarabangsa. - DagangNews.com