NIOSH lonjak kredibiliti syarikat penerbangan di Malaysia menerusi pengiktirafan penentusahan karbon antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NIOSH lonjak kredibiliti syarikat penerbangan di Malaysia menerusi pengiktirafan penentusahan karbon antarabangsa

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Julai – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), melalui anak syarikatnya NIOSH Certification Sdn Bhd (NIOSHcert) menjadi agensi tempatan pertama menerima akreditasi rasmi daripada Jabatan Standard Malaysia (DSM) untuk melaksanakan penentusahan pelepasan karbon di bawah program CORSIA, piawaian kelestarian global yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

 

Pengiktirafan ini turut menyaksikan NIOSHcert disenaraikan dalam CORSIA Central Registry (CCR), sekali gus mengiktiraf peranannya sebagai badan penentusahan bertauliah di peringkat antarabangsa.

 

NIOSH berkata, langkah ini mengurangkan kebergantungan terhadap agensi luar dan membolehkan penyediaan perkhidmatan penentusahan karbon yang lebih cekap, telus dengan kos yang efektif dalam negara.

 

Pelaburan Malaysia Aviation Group (MAG) dalam tempahan 30 pesawat Boeing 737 membuka ruang kepada penerapan prinsip kelestarian secara menyeluruh termasuk keperluan pematuhan terhadap piawaian karbon dan ESG yang kini dapat disokong oleh kepakaran tempatan melalui NIOSHcert.

 

“Pencapaian ini sejajar aspirasi kerajaan untuk memperkasa sektor penerbangan negara agar lebih mampan dan kompetitif, serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau yang diyakini pelabur dan rakan strategik global,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

NIOSH

 

 

NIOSH mempunyai keupayaan teknikal, makmal bertaraf antarabangsa serta kefahaman mendalam terhadap kehendak piawaian global dan landskap industri tempatan.

 

Usaha ini turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau yang progresif dan berdaya tahan, disokong dasar kerajaan yang menyokong kelestarian dan pelaburan berimpak tinggi.- DagangNews.com