KUALA LUMPUR 17 Nov - NexG Berhad menjelaskan dua eksekutif kanannya, bekas Ketua Pegawai Operasi (COO), Victor Chin Boon Long dan bekas Ketua Pegawai Strategi (CSO), Jorrine Ang Pei Gaik telah meninggalkan kumpulan tersebut berkuat kuasa 30 September 2025.
Menurut NexG, kedua-dua individu berkenaan tidak lagi memegang sebarang jawatan atau peranan dalam NexG Berhad mahupun mana-mana anak syarikatnya.
"Pihak syarikat turut menasihatkan semua rakan kongsi, pemegang taruh dan pihak berkepentingan supaya mengesahkan kesahihan sebarang komunikasi, tuntutan atau representasi yang dibuat atas nama NexG Berhad atau anak-anak syarikatnya bagi mengelakkan salah faham atau penyalahgunaan nama syarikat," klatanya dalam kenyataan.
Tambah kenyataan itu, NexG menegaskan kumpulan kekal komited terhadap tadbir urus korporat, ketelusan dan akauntabiliti pada tahap tertinggi.
“Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif strategik kumpulan bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan untuk para pemegang saham dan pemegang kepentingan,” katanya.
Pada Oktober lalu, empat ahli lembaga pengarah NexG melepaskan jawatan lebih awal atas sebab peribadi.
Mereka ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Pengarah Eksekutif, Datuk Puvanesan Subenthiran; serta dua Pengarah Bebas, Datuk Seri Mohd Sopiyan Mohd Rashdi dan Datuk Zainal Abidin Abu Hassan. - DagangNews.com








