KUALA LUMPUR 18 Nov – NCT Group of Companies, melalui anak syarikatnya, NCT Land Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Speedex Express Logistics (M) Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu di NCT Smart Industrial Park (NSIP) di Puchong.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, kerjasama ini mencerminkan usaha NCT Group untuk memperkukuh asas operasi taman perindustrian dan menyokong kemampuan pelabur untuk berkembang.
“Perkhidmatan logistik bersepadu di NCT Smart Industrial Park terus berkembang untuk menyokong visi kami membangunkan taman perindustrian moden dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.
“Dengan Fasa 1 hampir siap dan hampir 100% terjual, penambahan Speedex ke dalam rangkaian rakan kongsi kami adalah tepat pada masanya kerana ia membolehkan taman industri ini menawarkan penyelesaian logistik yang lengkap dan efisien, yang secara langsung menyokong pertumbuhan perniagaan dan daya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Speedex merupakan rakan logistik pertama taman perindustrian tersebut dan akan menawarkan perkhidmatan penghantaran laut, udara dan darat, perkhidmatan kastam, penyimpanan serta pengurusan inventori.
Sementara itu, Pengarah Speedex, Naresh Kumar Sundram berkata, pihaknya komited untuk menyediakan perkhidmatan logistik yang tangkas dan boleh dipercayai yang melengkapkan infrastruktur canggih taman industri tersebut.
NCT Smart Industrial Park seluas 730 hektar, yang dilancarkan pada 2023 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM7.9 bilion, merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia yang disahkan sebagai taman industri yang diurus secara profesional.
Taman ini terletak berhampiran Pelabuhan Klang dan Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sedang dibangunkan dalam lima fasa. - DagangNews.com








